Oleh Normazlina M.D & Azaraimy HH
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Aspirasi dan idea para pemimpin akar umbi memainkan peranan penting dalam menyokong misi kerajaan ke arah meningkatkan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi (gambar atas) berkata demikian semasa sesi dialog antara Kementerian Kesihatan dan pemimpin akar umbi di yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, hari ini.
“Harapan, pemikiran dan idea para penghulu dan ketua kampung yang menjadi pemimpin akar umbi dalam masyarakat amat berguna dalam menyokong aspirasi Kementerian Kesihatan untuk terus berusaha meningkatkan taraf kesihatan di negara ini,” kata beliau.
Yang Berhormat Dato berkata, dialog memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk merakamkan semula usaha yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu dan mengenal pasti isu-isu yang perlu ditangani untuk meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan.
“Ini selaras dengan titah Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang disampaikan semasa lawatan Baginda ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 27 September 2016, di mana Baginda bertitah agar kerja-kerja diteruskan untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Antara isu yang disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia termasuklah keramahan pelanggan, masa menunggu dan kekurangan ubat-ubatan.”
Yang Berhormat Dato memberi jaminan bahawa kementerian akan terus menangani isu-isu yang kini memberi kesan kepada orang ramai atau mana-mana pihak yang berkepentingan dan memastikan Kementerian Kesihatan menyampaikan tahap penjagaan kesihatan yang optimum melalui pendekatan ‘delivery and outcome’.
“Kementerian akan terus berusaha untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi yang selamat kepada orang awam, kos efektif, cekap, inovatif, selaras dengan keperluan semasa dan masa depan serta tiga keutamaan strategik Kementerian Kesihatan iaitu menanamkan konsep kesihatan adalah urusan semua orang, mencegah dan mengawal penyakit tidak berjangkit (NCD) serta memberikan kecemerlangan melalui penjajaran dan penyatuan perkhidmatan penjagaan kesihatan.”
Sesi dialog itu dihadiri seramai 26 orang penghulu, pemangku penghulu, ketua kampung serta pemangku ketua kampung dari Mukim Pekan Tutong, Mukim Keriam, Mukim Kiudang, Mukim Rambai, Mukim Ukong, Mukim Telisai, Mukim Tanjong Maya dan Mukim Lamunin yang diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Tanjong Maya, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong.
Sesi petang tadi bermula dengan ucapan pembukaan oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, diikuti oleh ucapan Menteri Kesihatan.