Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Ke arah negara rendah karbon 2050

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Dengan Negara Brunei Darussalam berkembang ke arah sebuah negara berdaya tahan iklim dan rendah karbon, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) komited untuk menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai dengan kerajaan Brunei serta memberikan sokongan untuk membentuk dasar-dasar yang boleh menyokong cita-cita Brunei menuju ke arah net-zero menjelang 2050.

    Oleh itu, Kajian Analisis Nilai Sistem (SVA) dipercayai dapat dimanfaatkan untuk menyokong dialog kepada memacu penyelarasan, keputusan dan perubahan bermakna antara pihak berkepentingan awam dan swasta.

    “Kolaborasi adalah amat penting untuk membuka kunci pelaburan mampan dalam penyelesaian bagi sebuah peralihan tenaga bersih,” jelas Pengarah Urusan BSP dan Shell Country Chair, Agnete Johnsgaard-Lewis dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pembukaan Khas SVA Brunei yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis khas berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Haji Azhar bin Haji Yahya. Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, ahli akademik dan wakil-wakil daripada sektor swasta.

    Majlis khas itu merupakan sebahagian daripada program bagi Minggu Tenaga, Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 di mana kajian SVA bagi Brunei dikendalikan oleh BSP bersama Accenture dengan sokongan daripada pelbagai jabatan kerajaan, menerusi ulasan rakan sebaya dan perkongsian kepakaran serta data.

    Haji Azhar bergambar ramai bersama tetamu yang hadir pada Majlis Pembukaan Khas SVA Brunei yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Di rantau ASEAN, SVA telah dikendalikan bagi Malaysia, Indonesia dan baru-baru ini, Thailand.

    Dalam kata alu-aluannya lagi, Agnete Johnsgaard-Lewis menerangkan bahawa SVA merupakan sebuah rangka kerja holistik yang menilai hasil teknikal, sosial, alam sekitar dan ekonomi bagi penyelesaian tenaga berpotensi.

    Ia juga memberikan pandangan yang meluas bagi membuat keputusan dan mengalihkan tumpuan komersial daripada hanya kos untuk merangkumi sebuah set parameter tambahan dalam mentakrifkan nilai.

    Beliau berkata lagi, untuk mempercepatkan tindakan dalam perjalanan Brunei ke arah masa hadapan net-zero, kita harus mengenal pasti manfaat, hasil dan nilai dalam negara yang lebih meluas sebagai dapatan peralihan tenaga yang pergi jauh melangkaui hanya satu parameter tetapi mengenali bahawa pelaksanaan skala besar akan memerlukan penyelesaian yang disokong oleh dasar dan peraturan.

    Penyelesaian berpotensi yang dikenal pasti bagi Brunei, jelasnya, termasuk penggunaan tenaga suria teragih, memanfaatkan potensi suria terapung Brunei bagi penghasilan hidrogen hijau dan kapasiti bersambung grid, penyimpanan dan penangkapan karbon (CCS) untuk menyahkarbonkan industri baik domestik dan antarabangsa serta mengembangkan pengangkutan awam dan meningkatkan kenderaan elektrik. Secara keseluruhannya, tambahnya, empat penyelesaian itu akan membantu Brunei mencapai sasaran pelepasan 2035 kebangsaan dan kekal di landasan betul untuk mencapai net-zero menjelang 2050.

    Sementara itu, Pengurus Nilai Dalam Negara BSP, Hajah Rosita binti Haji Hassan yang dipetik menekankan kelebihan SVA, menyatakan bahawa ia amat penting bagi Brunei untuk memahami bagaimana kita dapat secara kolektif mendapat manfaat daripada perjalanan peralihan tenaga bersih dan bagi negara untuk memperoleh manfaat daripada kesan sosio ekonomi projek-projek hijau.

    “Brunei mempunyai potensi untuk meletakkan semula dirinya sebagai sebuah pemain utama bagi peralihan tenaga hijau di rantau ini,” tambahnya.

    World Economic Forum (WEF) telah membangunkan rangka kerja nilai sistem untuk memacu perbincangan dan tindakan bagi mempercepatkan peralihan tenaga bersih. SVA bagi Brunei boleh diperoleh dan akan dikongsi dengan orang ramai di laman sesawang WEF pada minggu hadapan.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...