Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ke arah penuaan yang sihat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Seramai 300 orang telah menyertai Program TEGAS Walkaton yang diadakan bersempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2023 di Taman Mahkota Jubli Emas, di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan program anjuran Kumpulan Wise & Well (TEGAS) dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) di bawah Special Study Module 3 (SSM3), kursus perubatan itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Program juga dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan dijayakan bersama para sukarelawan khususnya penuntut-penuntut dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    TEGAS Walkaton adalah singkatan Towards Energising and Guiding the Aged Society yang mana objektifnya adalah untuk memberikan kesedaran dan menggalakkan warga emas melakukan senaman ke arah kehidupan penuaan yang sihat. Program juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran belia untuk sama-sama memeduli kebajikan dan penjagaan warga emas.

    Program dimulakan dengan senamrobik bagi aktiviti pemanasan badan yang dikendalikan oleh Penolong Jurulatih Karate, Jabatan Belia dan Sukan, Awang Mohammad Nabil bin Abdul Malik sebelum para peserta berlepas bagi aktiviti walkaton sejauh 1.4km.

    Orang ramai juga berpeluang menyaksikan aktiviti-aktiviti sampingan seperti Educational Booth oleh beberapa kumpulan mahasiswa dan mahasiswi PAPRSB IHS, aktiviti keusahawanan daripada klien JAPEM, persembahan aktiviti fizikal dan pameran hasil kraftangan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) seluruh daerah dan cabutan bertuah.

    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Penolong Naib Canselor UBD, Pengiran Dr Mohd Iskandar bin Pengiran Haji Petra dan Ketua Program Kursus Perubatan, Dr Hajah Fazean Irdayati binti Idris.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan memyertai acara walkaton di Taman Mahkota Jubli Emas di ibu negara, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan merasmikan program Tegas Walkaton. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara peserta yang ikut serta dalam Walkaton tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda