Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ke arah perkhidmatan awam yang cemerlang, inovatif

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Persekitaran yang dinamik dan kompleks menuntut perkhidmatan awam memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan menitikberatkan kepantasan bekerja dan akauntabiliti serta memenuhi aspirasi dan jangkaan pelanggan.

    Oleh yang demikian, perkhidmatan awam perlu membuat perubahan secara berterusan agar terus relevan dengan tuntutan semasa. Perubahan sejagat yang tidak menentu, mengakibatkan organisasi perlu menyesuaikan pendekatan dengan perubahan luaran (external environment) dan dalaman.

    Perkara ini ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud ketika berucap pada Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang di Dewan Pencapaian Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Rimba, hari ini.

    Tambah beliau, dunia pada masa ini sedang menghadapi tempias perubahan teknologi Revolusi Industri 4.0 yang dirasai oleh semua sektor, sama ada sektor awam mahu pun sektor swasta.

    Pelbagai pihak telah mengandaikan dan meramalkan perubahan daripada industri berkenaan akan memberi impak yang ketara terhadap sumber manusia dan daya saing organisasi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti ketika berucap pada Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Program Penggredan 3PSA Melalui Penarafan Bintang di Dewan Pencapaian IPA, Rimba.
    Antara mereka yang hadir pada sesi perkongsian tersebut.

    Justeru itu, dengan kepantasan perubahan teknologi ini juga telah memberikan tekanan kepada perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti. Ini setentunya menuntut perkhidmatan awam untuk lebih kreatif dan inovatif bagi memacu kemajuan, perubahan masa depan dan tekanan pelanggan yang semakin kompleks.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti juga berkata, sebagai ejen perancang dan pelaksana pelbagai dasar dan program kerajaan, pelbagai pendekatan dan penyelesaian terus difikirkan, dirancang dan dihasilkan dalam menjadikan perkhidmatan awam mencapai tahap governance yang tinggi.

    “Apa yang paling penting bagi perkhidmatan awam adalah untuk dapat melaksanakan peranan yang berkesan sebagai penyampaian dan pelaksana program dan dasar negara kepada stakeholders,” jelasnya

    Justeru itu, tambah beliau, 3PSA telah diperkenalkan untuk menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memperluaskan lagi skop pengauditan pengurusan.

    Ia bertujuan untuk menilai dan mengukur prestasi setiap agensi kerajaan ke arah memastikan penyampaian perkhidmatan berada di tahap yang cemerlang seperti yang ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia di dalam titah Baginda sempena Hari Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam ke-10 pada tahun 2003.

    Dengan adanya program seumpama ini, ujar beliau, secara langsung akan dapat membantu agensi-agensi kerajaan untuk menilai dan menambahbaikkan keberkesanan tadbir urus agensi masing-masing bagi mencapai kecemerlangan.

    Kecemerlangan ini bukan hanya setakat untuk memperolehi penarafan bintang atau tahap prestasi yang tertinggi, bahkan untuk membantu mempercepatkan pencapaian hasrat negara seperti yang digariskan di dalam Wawasan Brunei 2035.

    Menurut beliau, 3PSA akan dapat membantu menyumbang kepada meningkatkan lagi kedudukan negara dalam penunjuk-penunjuk antarabangsa, seperti Ease of Doing Business dan Governance Effectiveness Index.

    Justeru itu, Yang Berhormat Menteri di JPM amat menyokong usaha Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD) dalam memperkenalkan dan seterusnya melaksanakan 3PSA dalam perkhidmatan awam sejak empat tahun lalu, iaitu pada Mac 2015.

    Yang Berhormat Menteri di JPM turut menyentuh mengenai kepimpinan yang menurut beliau, kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas keberkesanan pemimpinnya dalam memimpin organisasi dan orang bawahannya.

    Ini, tambahnya, disokong dengan penemuan MSD, melalui hasil penilaian 3PSA dan pemerhatian MSD, yang mana dapat disimpulkan bahawa, tinggi atau rendahnya pencapaian organisasi tersebut adalah bergantung kepada keberkesanan kepimpinannya dengan penglibatan kerjasama agensi-agensi lain sebagai langkah ke arah pendekatan keseluruhan negara dan sokongan setiap pegawai dan kakitangan secara kolektif di dalam agensi masing-masing dan paling penting mendapat sokongan dan panduan daripada pemimpinnya.

    Manakala itu, Pengarah Perkhidmatan Pengurusan, Awang Aminuddin bin Haji Buntar ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pula telah menjelaskan mengenai 3PSA yang jelasnya merupakan kaedah penilaian bersifat ‘developmental’.

    Ia merupakan program kesinambungan kepada Pengauditan Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) yang diperluaskan skop penilaiannya yang bukan sahaja memfokuskan kepada prestasi pemberian perkhidmatan akan tetapi menilai dan mengukur perkara-perkara yang dikira sebagai pengurusan teras atau utama kepada sesebuah organisasi, iaitu penyediaan dan pelaksanaan perancangan strategik, pelaksanaan dasar, pengurusan dan pembangunan sumber manusia.

    Beliau menjelaskan, Sesi Perkongsian Amalan Terbaik berkenaan merupakan salah satu strategi untuk ke hadapan setelah penilaian ke atas 26 jabatan yang dikenal pasti dilaksanakan.

    Program ini bertindak sebagai platform untuk mengongsikan amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh jabatan-jabatan yang telah dinilai dan untuk diadaptasi dan dipraktikkan oleh jabatan lain.

    Sesi perkongsian tersebut antara lain berobjektif untuk mempromosikan dan meningkatkan kefahaman 3PSA kepada pihak-pihak berkepentingan, memberi ruang kepada agensi kerajaan untuk menambah baik amalan yang sedia ada dan membantu mencapai objektif 3PSA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda