Oleh Salawati Haji Yahya
Negara Brunei Darussalam dan Mahkamah-Mahkamah Syariah khasnya telah melakar satu sejarah khususnya dalam sistem kehakiman syarak pada tahun 2019, di mana Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 (PKHJS, 2013) telah mula berkuat kuasa sepenuhnya pada 3 April 2019.
Sementara Perintah Kanun Peraturan Jenayah Mahkamah Syariah, 2018 (PKPJMS, 2018) pula mula di kuatkuasakan pada 1 Januari 2019.
Sebagai sebuah institusi kehakiman yang bertanggungjawab sepenuhnya bagi pelaksanaan kedua-dua perintah ini, pelbagai persiapan dan persediaan telah, sedang dan akan dilaksanakan mengikut kehendak serta keperluan yang berkaitan dengan kedua-dua perintah ini.
Dalam usaha berterusan ini juga, Mahkamah-Mahkamah Syariah perlu memastikan kehendak serta keperluan yang berkaitan dengan kedua-dua perintah tersebut dipenuhi dan beberapa langkah telah dan masih di teruskan.
Perkara ini dijelaskan oleh Timbalan Ketua Pendaftaran Mahkamah Rayuan Syariah, Haji Muhammad Bahrin bin Haji Alias selaku Pemangku Pengarah Jabatan Kehakiman Negara, Mahkamah-Mahkamah Syariah berucap sempena Perhimpunan Tahunan Mahkamah-Mahkamah Syariah ke-5 tahun 2020.


Langkah-langkah diambil
Antara langkah yang telah dan masih diteruskan termasuklah membuat pembaikan dan penyemakan secara berterusan kepada SOP Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 yang sedia ada supaya ia selaras dengan kehendak Perintah Kanun Peraturan Jenayah Mahkamah Syariah 2018. SOP ini dikenali atau dinamakan sebagai Manual Prosedur Kerja (MPK) Mahkamah -Mahkamah Syariah.
Di samping itu, melaksanakan pemberigaan MPK PKPJMS, 2018 kepada pegawai-pegawai mahkamah yang berkaitan serta mengenal pasti kehendak dan keperluan bagi setiap peruntukan undang-undang yang ada.
Langkah lain termasuklah mengadakan perbincangan dua hala dengan agensi berkaitan seperti Bahagian Pendakwaan Syarie, Bahagian Penguatkuasa Ugama, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Penjara serta mewujudkan garis panduan yang perlu seperti garis panduan peguam syarie lantikan mahkamah dan garis panduan tahanan reman.
Perancangan strategi
Dalam perancangan strategi, Mahkamah Syariah akan mempertingkatkan keupayaan serta kemahiran sumber tenaga manusia yang ada (HRD) serta bagi melahirkan pegawai dan kakitangan berkompetensi serta profesional yang telah diadakan pada tahun 2019.
Di samping itu, beberapa bengkel asas mediasi turut diadakan, dikendalikan oleh The Accord Group Sydney Australia anjuran ARTA Group Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) pada Oktober tahun lalu. Ini adalah sebagai usaha MMS memastikan pelaksanaan serta kehendak Aturan-Aturan Acara Mal Mahkamah-Mahkamah Syariah (SULH), 2013 yang telah di kuatkuasakan pada Januari 2018 dapat dilaksanakan secara profesional, cekap dan berkesan.
Pihak pengurusan Mahkamah Syariah akan terus berusaha untuk melaksanakan perancangan yang telah dibuat khususnya dengan mengambil langkah proaktif dalam memfokuskan perancangan pada tahun 2020 ini. Ia menjurus kepada peningkatan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi Hakim-Hakim Syarie dalam penyelesaian kes yang dibicarakan di mahkamah syariah. Di samping itu, pihak pengurusan juga telah merangka dan mengemas kini latihan dan kursus bersesuaian untuk diikuti oleh pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah dengan memfokuskan dan memberi keutamaan kepada rangka dan gerak kerja pelaksanaan PKHJS 2013.
Statistik kes jenayah 2019
Perangkaan kes yang didaftarkan di Mahkamah-Mahkamah Syariah bagi tahun 2019 mencatat sebanyak 1,398 kes Mal yang didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah di seluruh negara. Dari jumlah tersebut, 1,185 kes telah berjaya diselesaikan dan selebihnya masih dalam proses perbicaraan mahkamah manakala Mahkamah Tinggi Syariah pula, mencatat sebanyak 819 kes bagi tahun 2019 di mana 702 kes berjaya diselesaikan.
Manakala bagi pendaftaran kes jenayah di Mahkamah Rendah Syariah bagi tahun 2019 pula, sebanyak 162 kes dan dari jumlah tersebut 129 kes berjaya diselesaikan dan selebihnya masih dalam proses perbicaraan Mahkamah. Dari jumlah 162 itu, 56 kes didapati kesalahan jenayah di bawah Akta Majlis Ugama Islam, Penggal 77 dan 105 kes bagi kesalahan jenayah di bawah PKHJS, 2013.
Sementara 56 kes di bawah Akta Majlis Ugama Islam, Penggal 77 tersebut, 45 kes berjaya diselesaikan dan 83 kes dari 105 kes jenayah di bawah PKHJS, 2013 telah berjaya diselesaikan dan selebihnya masih dalam proses perbicaraan.
Bagi pendaftaran kes jenayah di Mahkamah Tinggi Syariah pula, sebanyak 118 kes telah didaftarkan dan kes ini telah pun berjaya diselesaikan pada peringkat Mahkamah adalah sebanyak 105 kes. Manakala 16 kes daripada ini adalah kes kesalahan di bawah PKHJS 2013 dan dari jumlah tersebut, sebanyak 14 kes adalah kes sariqah dan dua kes lagi adalah kes kecederaan. Dari 14 kes sariqah itu, 12 kes telah selesai dibicarakan dan dua masih lagi dalam proses perbicaraan.
Manakala pendaftaran kes mal di Mahkamah Rayuan Syariah pula adalah sebanyak lima kes, dua kes telah diselesaikan dan tiga kes lagi masih dalam proses penyediaan rekod rayuan.
Sementara bagi pendaftaran kes jenayah di mahkamah rayuan syariah bagi tahun 2019 pula adalah sebanyak 4 kes dan dua kes masih di peringkat pendengaran manakala dua kes lagi masih dalam proses penyediaan rekod rayuan.
Perbandingan perangkaan perkahwinan 2019 dan 2018
Mengenai perangkaan perkahwinan sepanjang tahun 2019 pula, sebanyak 2,613 perkahwinan didaftarkan di seluruh negara termasuk perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara. Manakala pendaftaran perceraian sepanjang tahun 2019 sebanyak 526 perceraian telah didaftarkan di seluruh negara termasuk pendaftaran penceraian di luar negara.
Jumlah pendaftaran perceraian ini menunjukkan peningkatan jika dibandingkan jumlah pendaftaran perceraian pada tahun 2018 yang hanya 522 perceraian manakala jumlah pendaftaran rujuk pula sebanyak 17 kes berbanding 19 kes pada tahun 2018 yang menurun sebanyak 2 kes.