Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 31 Ogos – Sebagai sebahagian daripada usaha mengeratkan kerjasama antara Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam (BLA) dan pustakawan di seluruh negara, Sesi Taklimat Kerjaya sebagai Pustakawan Sekolah-sekolah telah diadakan di Dewan Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara (PJN) Pengiran Haji Abu Bakar, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ketua Unit Pemantauan Perpustakaan Sekolah, Hajah Sarimah binti Haji Bakar. Turut hadir ialah Pengetua sekolah tersebut, Chin Ai Fong dan Pengerusi Kluster 6, Dayang Nor Azimahwati binti M. Yassin.
Majlis tersebut telah menyaksikan penyampaian taklimat oleh Presiden BLA, Dayang Nellie binti Dato Paduka Haji Sunny.

Lebih 70 orang dalam kalangan pustakawan di Daerah Belait telah menghadiri majlis anjuran Kluster 6 itu yang antara lain juga bertujuan untuk memberi kefahaman dalam pengurusan, menyediakan kakitangan yang lebih mantap, selain bagi meningkatkan prestasi pustakawan dengan lebih cemerlang dan berdaya saing dalam arus perubahan zaman masa kini yang penuh dengan cabaran.
Di samping itu juga bagi meningkatkan penggunaan perpustakaan sebagai pusat maklumat yang efektif dan responsif kepada warga sekolah dan orang ramai.