Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Ke arah sekolah mempromosikan kesihatan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) telah menyatakan bahawa tiada sistem pendidikan yang efektif jika ia tidak mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan pelajar, kakitangan dan komuniti.

    Dalam hubungan itu, Inisiatif Growing, Learning, Optimizing towards Better Well-being in School (GLOW) dalam menjadikan setiap sekolah di Negara Brunei Darussalam sebuah sekolah mempromosikan kesihatan, masih dalam tahap permulaan perjalanannya.

    “Hasrat itu boleh menjadi satu realiti melalui usaha bersama dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan dengan kita sama-sama berusaha ke arah mencapai matlamat itu.”

    Harapan dan seruan itu dinyatakan oleh Pegawai Perubatan, Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Kementerian Kesihatan, Dr Norzawani Ishak dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penganugerahan Program Inisiatif Sekolah Mempromosi Kesihatan (HPSI): GLOW yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa HPSI merupakan salah satu tindakan keutamaan dalam Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2019-2023 di bawah Matlamat Strategik 2.2: Memberikan Setiap Kanak-kanak Permulaan Terbaik dalam Kehidupan, yang menumpukan kepada mengukuhkan inisiatif sekolah mempromosi kesihatan.

    Dr Norzawani menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Dr Norzawani berkata bahawa sekolah mempromosi kesihatan (HPS) menggunakan pendekatan seluruh sekolah untuk mempromosikan pencapaian pendidikan dan kesihatan dalam komuniti sekolah dengan memanfaatkan potensi sekolah bagi menjana persekitaran pembelajaran kondusif untuk semua.

    Pendekatan HPS, ulasnya, telah menunjukkan kesan positif kepada kesihatan termasuk peningkatan aktiviti fizikal, pemakanan yang lebih baik dan pengurangan penyalahgunaan bahan serta keganasan sekolah.

    “Ia adalah terbukti bahawa kesihatan, kesejahteraan dan pendidikan adalah saling berkaitan, di mana kesihatan dan kesejahteraan adalah mustahak dalam penyampaian perolehan pendidikan,” ujarnya.

    Beliau seterusnya menerangkan bahawa konsep HPS bukannya bermula dari sifar atau menambah kepada program atau kurikulum pendidikan sedia ada tetapi ia adalah mengenai pengukuhan dan memanfaatkan sumber atau kapasiti sedia ada yang terdapat di setiap sekolah dan untuk memperbaiki inisiatif-inisiatif masing-masing dalam memupuk dan mempromosikan kesihatan yang menyumbang kepada kesejahteraan, kemahiran hidup, kemahiran kognitif dan sosioemosi serta gaya hidup sihat dalam persekitaran pembelajaran yang selamat.

    Dr Norzawani menyatakan bahawa sekolah-sekolah boleh bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang relevan serta juga sektor masyarakat untuk memastikan pelaksanaan efektif inisiatif-inisiatif HPS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...