Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam dijangka tidak menentu untuk beberapa hari akan datang disebabkan oleh pembentukan satu sistem tekanan rendah di Laut China Selatan yang menjadikan keadaan atmosfera di rantau kita lebih lembap dan tidak stabil.
Keadaan cuaca diramalkan aktif bagi beberapa hari yang akan datang bermula 18 hingga 23 Julai dengan hujan lebat dan berangin kencang dijangka berlaku sekali-sekala menjejaskan kebanyakan kawasan negara dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan lebat.
Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, di antara 0.5-1.2 meter.
Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan, dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan negara pada masa ini berada dalam monsun barat daya yang pada lazimnya akan berterusan sehingga September.
Semasa monsun, keadaan atmosfera negara pada kebiasaannya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan dengan keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya semasa tempoh berkenaan.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.
Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Jabatan itu akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
BDMD menyatakan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX, menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau layari laman sesawang dan media sosial lainnya.


