Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula 27 hingga 30 November dengan hujan sekali sekala lebat dan berpetir dijangka menjejaskan kawasan pendalaman pada waktu petang.
Menurut kenyataan Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam (BDMD), keadaan tersebut akan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam dan berpotensi berlanjutan ke awal pagi keesokan harinya, dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa hujan lebat.
Manakala, keadaan laut pula pada amnya berombak di paras sederhana bergelora di antara satu ke dua meter.
Negara pada masa ini berada di monsun timur laut, yang pada lazimnya akan berterusan sehingga penghujung Mac 2025, dan dalam tempoh separuh pertama monsun timur laut sehingga Januari 2025, ia dikenali dengan musim tengkujuh.
Dalam musim itu, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan atau hujan berpetir sekali sekala lebat berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi.
Manakala semasa tempoh separuh kedua monsun timur laut iaitu bulan Februari 2025 dan Mac 2025 pula, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.
Sehubungan itu, BDMD menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramal berlaku dengan maklumat terkini boleh didapati dalam laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui media sosial lainnya.