Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keadaan cuaca diramalkan aktif sehingga 11 September

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang bermula 7 September hingga 11 September dengan hujan berpetir, sekali-sekala lebat dan berangin kencang dijangka melintasi kawasan pedalaman pada waktu petang dan boleh merebak ke kawasan pesisiran negara pada waktu malam dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj semasa hujan lebat atau berangin kencang.

    Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, di antara 0.5-1.5 meter.

    Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan, dikeluarkan oleh Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini akan menuju ke penghujung Monsun Barat Daya menjelang akhir September.

    Semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera di negara pada kebiasaannya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan dengan kedaan angin secara amnya akan bertiup dari arah Barat Daya semasa tempoh berkenaan.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang. Oleh itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.  

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan saluran Telegram, BruneiWeather.

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda