Keadaan cuaca tidak menentu akibat tekanan udara rendah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam monsun barat daya di mana keadaan angin secara amnya bertiup dari arah barat daya.

Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataannya, hari ini, menjelaskan bahawa pada musim ini, keadaan atmosfera pada kebiasaannya agak stabil dan aktiviti kejadian ribut petir menjadi berkurangan jika dibandingkan semasa monsun peralihan pada dua bulan yang lalu. Musim barat daya biasanya akan berterusan sehingga September.

Kenyataan menambah, semasa kemuncak musim ini iaitu sekitar Ogos, negara kebiasaannya akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

Data kaji cuaca terakhir menunjukkan tidak ada sistem ribut tropika dikesan di rantau ini pada masa ini.

Manakala itu, ramalan cuaca bagi minggu ini, keadaan cuaca negara berpotensi dipengaruhi oleh kesan tekanan udara rendah yang dijangka berlaku sekali-sekala di sekitar Pulau Borneo.

Keadaan ini akan meningkatkan aktiviti konvektif awan dan keadaan cuaca yang tidak menentu. Hujan atau hujan berpetir berpotensi berlaku di kebanyakan kawasan negara untuk beberapa hari pada minggu ini. Ramalan keadaan ombak pada minggu ini pula berada di paras sedikit iaitu antara 0.3 ke 0.6 meter dan berkemungkinan meningkat ke paras sederhana dan bergelora iaitu sekitar 1.8 ke 2.2 meter pada Jumaat hingga pagi Sabtu.

Sehubungan itu, BDMD menasihatkan orang ramai supaya mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir.

Orang ramai dan pemandu di jalan raya serta pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD di samping mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.