Sunday, January 26, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keadaan perniagaan Dis 2024 tidak berubah

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan adalah 50.0 bagi Disember 2024, menunjukkan bahawa secara amnya, keadaan perniagaan adalah lebih kurang sama dengan November 2024.

    Kebanyakan perniagaan mengongsikan kesan musim persekolahan terhadap prestasi perniagaan mereka dengan sentimen yang berbeza-beza direkodkan dalam kalangan sektor yang berlainan.

    Sentimen positif dikongsi oleh perniagaan berkaitan dengan perjalanan, perniagaan yang menyertai acara­-acara semasa penghujung tahun dan perniagaan yang mengadakan promosi-promosi akhir tahun dan kembali ke sekolah.

    Sementara itu, pendapat pesimistik secara amnya adalah berkaitan dengan kelembapan keadaan pasaran dengan perniagaan menjangka kecenderungan para pengguna untuk melancong ke luar negara semasa musim percutian yang seterusnya akan menurunkan perbelanjaan dalam negara.

    Sesetengah perniagaan yang lain juga mengongsikan pengurangan dalam projek baharu dan aktiviti berikutan tenaga kerja mengambil cuti dan isu berkaitan cuaca juga menyumbang kepada punca sentimen pesimistik pada Disember 2024.

    Bagi keadaan perniagaan satu bulan ke hadapan, indeks menunjukkan jangkaan keadaan perniagaan satu bulan ke hadapan berbanding bulan ini. – GAMBAR SERAHAN BDCB
    GAMBAR SERAHAN BSI

    lndeks keadaan perniagaan bagi satu bulan ke hadapan di tahap 50.4 menunjukkan jangkaan keadaan perniagaan yang lebih baik pada Januari 2025 berbanding dengan Disember 2024.

    Secara amnya, kebanyakan perniagaan menganggap tahun baharu ini sebagai permulaan yang baik dengen berakhirnya musim percutian serta jangkaan prestasi jualan yang akan meningkat dengan perbelanjaan bonus tahunan pada Januari 2025.

    lni juga termasuk perbelanjaan semasa Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan ke-30 serta sambutan Tahun Baharu Cina pada bulan yang sama.

    Dapatan itu adalah dari BSI Negara Brunei Darussalam bagi Disember 2024 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), baru-baru ini.

    BSI adalah berdasarkan kaji selidik ke atas hampir 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi di kesemua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi Disember 2024, 50.0 untuk satu bulan di hadapan dan 50.1 bagi tiga bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan bahawa para peniaga menjangka sedikit peningkatan dalam pelaburan pada Disember 2024 dan akan mengekalkannya bagi Januari 2025.

    Bagi sebahagian perniagaan, peningkatan itu adalah untuk menambah stok inventori seperti bulan-bulan sebelumnya. Sebaliknya syarikat yang berasaskan projek memberi tumpuan untuk melengkapkan projek akhir tahun dan kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang berjalan serta tidak mempunyai keperluan segera untuk meningkatkan tahap pelaburan hingga selepas bulan Ramadan apabila projek-projek baharu yang dijangka akan bertambah.

    Secara amnya, perniagaan menjangka akan menambah inventori pada Mac 2025 bagi persiapan untuk peningkatan dalam permin-taan sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Sementara itu, Sub-Indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.2 bagi Disember 2024 dan 50.3 bagi satu bulan ke hadapan di mana meneruskan trend seperti bulan-bulan sebelumnya, perniagaan menjangka akan terus mengambil pekerja sepenuh masa dan sambilan baharu pada Disember 2024 dan Januari 2025.

    Ia adalah untuk memenuhi keperluan projek dan acara-acara baharu atau yang sedang berjalan. Sebahagian perniagaan juga mengongsi keperluan untuk menambah jumlah pekerja dalam bahagian-bahagian tertentu seperti teknologi maklumat dan pentadbiran dan akan terus mengambil tenaga kerja untuk mengganti kakitangan yang berhenti mengambil kira kadar pusing ganti pekerja yang tinggi.

    Sub-Indeks Kos Perniagaan adalah 50.2 bagi Disember 2024 dan 49.9 bagi satu bulan ke hadapan di mana secara amnya, perniagaan menjangka peningkatan dalam kos operasi pada Disember 2024 berbanding dengan bulan sebelumnya disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk acara-acara akhir tahun untuk pekerja, pembayaran bonus untuk pekerja, aktiviti-aktiviti promosi, pembelian bahan-bahan mentah, perbelanjaan berkaitan dengan penyelenggaraan tahunan serta kos penghantaran yang lebih tinggi pada hujung tahun.

    Bagi Januari 2025, perniagaan menjangka penurunan kos operasi ke tahap normal dan pengurangan dalam perbelanjaan berkaitan tenaga kerja berbanding dengan Disember 2024.

    Dari segi sektor ekonomi, hanya dua daripada 11 sektor berpandangan optimistik pada Disember 2024. Sektor pengangkutan dan komunikasi mencatat indeks optimistik tertinggi pada tahap 50.7 didorong oleh peningkatan perjalanan penumpang dan penyewaan kenderaan semasa musim percutian serta permintaan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan penghantaran.

    Sektor pembuatan turut optimistik bagi Disember 2024 dengan adanya pelbagai acara yang membawa permintaan yang lebih tinggi dan prestasi yang lebih baik.

    Sebaliknya, lima sektor melaporkan pandangan pesimistik terutamanya sektor kesihatan dan pendidikan pada tahap 49.2 disebabkan oleh musim cuti persekolahan. Sektor-sektor pesimistik yang lain adalah perkhidmatan swasta lain, kewangan dan insurans, pembinaan dan pertanian, perhutanan, perikanan dan ternakan yang mengongsi kebimbangan mengenai keadaan perniagaan yang lembap semasa musim percutian.

    Faktor-faktor lain yang dilaporkan termasuk jangkaan penangguhan projek dan pesanan bagi beberapa perniagaan, kekurangan atau ketiadaan projek dan keadaan cuaca yang buruk sepanjang Disember 2024.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda