Saturday, April 19, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Keadaan perniagaan kekal tidak berubah’

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan adalah 50.0 bagi Februari 2025 di mana indeks berkenaan mencerminkan sentimen berlainan mengikut sektor.

    Kebanyakan perniagaan mempunyai sentimen neutral dengan laporan keadaan perniagaan adalah lebih kurang sama dengan bulan sebelum ini dan juga projek-projek yang sedang berjalan.

    Sementara itu, sentimen optimistik didorong oleh peningkatan jualan berikutan persiapan musim perayaan serta projek-projek baharu yang menyumbang kepada prestasi yang lebih baik dalam sesetengah sektor.

    Walau bagaimanapun, terdapat juga sentimen pesimistik yang ketara pada Februari disebabkan oleh beberapa faktor seperti penyingkatan waktu bekerja, pembayaran tertunda daripada pelanggan, penangguhan projek, keadaan cuaca buruk serta pengurangan aktiviti perniagaan selepas sambutan Tahun Baharu Cina dan penerimaan bonus.

    lndeks keadaan perniagaan bagi satu bulan ke hadapan meningkat kepada tahap 50.3 menandakan sentimen optimistik yang didorong oleh sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka akan meningkatkan permintaan, jualan dan aktiviti perniagaan secara keseluruhan dalam pelbagai sektor.

    Indeks pada paras 50 menunjukkan keadaan lebih kurang sama berbanding bulan sebelumnya. – GAMBAR SERAHAN BDCB

    Walaupun sesetengah perniagaan menjangka pengurangan operasi pada bulan Ramadan, sentimen keseluruhan kekal positif dengan projek-projek baharu dan aktiviti-aktiviti promosi yang turut menyumbang kepada jangkaan peningkatan prestasi pada Mac 2025.

    Dapatan itu adalah daripada Laporan BSI bagi Negara Brunei Darussalam bagi Februari 2025 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), baru-baru ini.

    Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) adalah berdasarkan kaji selidik ke atas hampir 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi di kesemua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Sub-Indeks Pelaburan adalah 50.0 di mana tahap pelaburan kekal bagi Februari 2025 dengan sub-indeks berkenaan meningkat sedikit kepada 50.1 pada tempoh satu bulan ke hadapan dan tiga buln ke hadapan.

    Bagi Februari 2025, kebanyakan perniagaan melaporkan tiada perubahan ketara dalam tahap pelaburan di mana ia adalah selaras dengan sentimen neutral terhadap keadaan perniagaan dengan sejumlah perniagaan terus memberi tumpuan kepada projek-projek yang sedang berjalan.

    Walau bagaimanapun, bagi bulan berikutnya, beberapa perniagaan merancang untuk meningkatkan tahap pelaburan mengambil kira projek-projek yang akan datang, pengisian semula stok untuk musim perayaan, dan persiapan untuk pelancaran produk baharu.

    Memandang tiga bulan ke hadapan, tahap pelaburan juga dijangka akan meningkat dengan permulaan projek-projek baharu, pelaksanaan rancangan pengembangan perniagaan serta pembelian peralatan atau mesin tambahan.

    Sub-indeks Pengambilan Pekerja berada pada tahap 50.6 bagi Februari 2025 dan 50.3 bagi satu bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan bahawa peniaga sedang aktif mengambil pekerja untuk memenuhi keperluan operasi dan menyokong pertumbuhan masa depan, khususnya bagi syarikat-syarikat saiz sederhana dan besar.

    Bagi Februari 2025, beberapa sektor perniagaan seperti Minyak dan Gas dan yang Berkaitan, Kesihatan dan Pendidikan dan Perkhidmatan Swasta Lain melaporkan pengambilan pekerja baharu yang didorong oleh projek-projek yang sedang berjalan, rancangan pengembangan serta untuk meningkatkan kecekapan dan menyokong fasa operasi baharu.

    Memandang ke hadapan, tahap pekerjaan dijangka terus meningkat memandangkan banyak perniagaan membuat persiapan untuk projek-projek baharu dan peningkatan permintaan semasa musim perayaan.

    Sektor-sektor seperti sektor Perdagangan Borong dan Runcit merancang untuk mengambil pekerja sambilan sebagai persediaan menghadapi peningkatan aktiviti perniagaan yang dijangkakan.

    Sub-indeks Kos Perniagaan adalah 49.8 bagi Februari 2025 dan satu bulan ke hadapan.

    Bagi Februari 2025, beberapa perniagaan melaporkan pengurangan kos berikutan langkah-langkah penjimatan kos, pengurangan aktiviti operasi serta penurunan kos gaji akibat peletakan jawatan atau penamatan kontrak pekerja.

    Memandang ke hadapan, penurunan kos yang dijangkakan bagi sesetengah perniagaan adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh jangkaan penyingkatan waktu operasi pada bulan Ramadan.

    Sementara itu, beberapa buah syarikat lain juga merancang untuk mengurangkan perbelanjaan bagi bahan mentah dan penyelenggaraan yang terus menyumbang kepada jangkaan pengurangan kos.

    Daripada segi sektor ekonomi, hanya satu daripada 11 sektor iaitu Perdagangan Borong dan Runcit, menjangka keadaan perniagaan yang optimistik pada Februari 2025 dengan indeks 50.1, yang didorong oleh peningkatan jualan berikutan persiapan untuk sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

    Sebaliknya, lima sektor menunjukkan keadaan perniagaan yang merosot dengan sektor Perkhidmatan Lain menghadapi kemerosotan disebabkan faktor bermusim, pengurangan aktiviti pelanggan, dan cabaran operasi, sektor Pertanian, Perhutanan, Perikanan dan Ternakan menghadapi cabaran seperti permintaan yang lebih rendah selepas Sambutan Tahun Baharu Cina, cuaca buruk dan kekurangan tenaga kerja, sektor Pembinaan mengalami pengurangan aktiviti akibat gangguan cuaca dan penyelesaian projek, sektor Kesihatan dan Pendidikan terutamanya perkhidmatan kesihatan, mengalami penurunan disebabkan bulan yang lebih pendek dan cuti perayaan serta sektor Pengangkutan dan Komunikasi menurun secara keseluruhan akibat pengurangan perjalanan jarak jauh dan aktiviti penghantaran.

    Sektor-sektor lain iaitu Kewangan dan Insurans, Minyak dan Gas dan yang Berkaitan, Harta Tanah dan Pemilikan Kediaman, Pembuatan, serta Hotel dan Restoran menunjukkan sentimen yang hampir sama berbanding dengan bulan sebelumnya.

    Daripada segi saiz perniagaan, perniagaan mikro, sederhana, dan besar menunjukkan sentimen yang hampir sama berbanding dengan bulan sebelumnya mengambil kira operasi yang konsisten, projek-projek yang sedang berjalan dan tiada perubahan ketara dalam aktiviti perniagaan.

    Walau bagaimanapun, perniagaan-perniagaan kecil menunjukkan sentimen yang pesimistik, yang disebabkan oleh faktor-faktor utama termasuk bilangan hari operasi yang lebih sedikit pada Februari 2025, keadaan cuaca buruk yang menjejaskan produktiviti serta penurunan permintaan pelanggan selepas Sambutan Tahun Baharu Cina.

    BSI bertujuan untuk mengukur tahap keyakinan atau sentimen perniagaan di Negara Brunei Darussalam dalam berbagai-bagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja serta kos menjalankan perniagaan.

    Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, ia boleh digunakan sebagai salah satu petunjuk awal keadaan makroekonomi negara.

    Keterangan indeks ialah nilai BSI atas 50 menunjukkan keadaan yang lebih baik atau sentimen lebih optimistik berbanding dengan bulan sebelumnya, nilai BSI 50 menunjukkan keadaan lebih kurang sama berbanding dengan bulan sebelumnya dan nilai bawah 50 menunjukkan keadaan yang merosot atau sentimen lebih pesimistik berbanding dengan bulan sebelumnya.

    Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, mereka boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik dalam laman sesawang BDCB, https://www.bdcb.gov.bn serta juga dengan mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB@centralbank.brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda