GENEVA, 15 OGOS – Empat bulan selepas konflik di Sudan, keadaan semakin tidak terkawal, dengan pemindahan besar-besaran dan jutaan penduduk di ambang kebuluran, pertubuhan kemanusiaan memberi amaran hari ini, menggesa tindakan segera dari semua pihak.
Sejak konflik Sudan meletus pada 15 April, negara itu telah terjerumus dalam krisis kemanusiaan yang dahsyat, dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga memberi amaran tentang pembunuhan sewenang-wenang dan penderaan seksual yang berleluasa.
Dalam rayuan bersama, ketua 20 organi-sasi global mengatakan lebih daripada enam juta rakyat Sudan berada di ambang kebuluran.
“Keadaan semakin tidak terkawal,” kata kenyataan itu, yang ditandatangani oleh ketua-ketua pelbagai agensi PBB serta organisasi termasuk Save the Children dan CARE.
Para penandatanganan menegaskan bahawa lebih daripada 14 juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan dan lebih empat juta orang telah melarikan diri daripada peperangan, sama ada di dalam negara yang dilanda perang atau sebagai pelarian ke negera-negara jiran.
Pada masa yang sama, mereka memberi amaran, ‘masa semakin suntuk untuk petani menanam tanaman yang akan memberi makan kepada mereka dan jiran mereka’.
Mereka mengecam tindak balas antarabangsa yang lambat selepas pertempuran antara tentera Sudan, diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Pasukan Sokongan Pantas separa tentera diketuai bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo. – AFP
