Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keadilan jadi asas dasar Sarawak

    KUCHING, 25 JULAI – Penekanan kepada keadilan untuk semua tanpa mengira agama sepertimana digariskan di bawah Piagam Madinah akan menjadi asas kepada Kerajaan Sarawak dalam merangkan dasar di negeri ini.

    Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata piagam yang turut dikenali sebagai Perlembagaan Madinah memberikan tadbir urus yang adil kepada rakyatnya dan mengutamakan nilai kemanusiaan.

    “Apabila Nabi Muhammad berhijrah dari Mekah ke Madinah, Baginda menubuhkan sebuah kerajaan yang adil untuk semua, kepada orang Islam dan bukan Islam.

    “Perlembagaan itu (Madinah) akan menjadi panduan kami. Kami perlu berlaku adil terhadap mereka di bawah kami, selaku Premier Sarawak, saya dan rakan seperjuangan akan menggunakan ini sebagai asas untuk merangka dasar yang memanfaatkan semua,” kata beliau dalam ucapan pada Persidangan Antarabangsa Cendekiawan Islam selama dua hari yang bermula hari ini.

    Perlembagaan Madinah merupakan satu perjanjian yang dihasilkan Nabi Muhammad SAW dengan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai golongan bagi membina kefahaman dan perpaduan dalam kalangan mereka selain daripada saling menghormati.

    Sementara itu, Abang Johari berkata di Sarawak semua agama dihormati dan mendapat perhatian kerajaan.

    “Kami ada Jabatan Agama Islam Sarawak yang menjaga orang Islam dan kami juga ada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk membantu mereka yang bukan Islam. Ini adalah kerana kami menghormati yang bukan Islam,” katanya. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan) menerima Kitab Pedoman Ibadat yang disampaikan oleh Penyuntingnya, Daud Abdul Ghani selepas merasmikan Ijtimak Ilmuwan Islam Antarabangsa sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Dewan Kompleks Islam Sarawak, 25 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda