Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keagungan Tanah Suci dipamerkan

    Oleh Pg Fairol RMF

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Sebanyak 14 poster gambar pilihan menggambarkan keagungan Tanah Suci berpandukan ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabawiyah diketengahkan dalam Pameran Keagungan Tanah Suci yang diadakan sempena Bandar Seri Begawan Ibu Negara Ketamadunan Islam bagi rantau Asia Tahun 2019.

    Pameran yang bermula hari ini sehingga 6 Mei di Ruang Legar Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei itu telah dirasmikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Hadir sama pada majlis itu ialah Penyelia Am Projek Keagungan Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah, Dr Thalal bin Mohammed Sulaiman Abu Al-Nur.

    Pengerusi bersama pameran, Haji Sammali bin Haji Adam dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, pameran itu bertujuan untuk memartabatkan kemuliaan Tanah Haram sebagaimana Allah SWT telah mengangkat Mekah Al-Mukarramah sebagai tanah suci dengan menjadikan Ka’abah sebagai kiblat kepada orang-orang Islam, dan memuliakannya sebagai tapak wahyu utusan terakhir Nabi Muhammad SAW.

    Beliau menambah, Mekah Al-Mukarramah juga merupakan tempat tumpuan berjuta-juta umat Islam dari seluruh pelosok dunia berkunjung untuk menunaikan Rukun Islam kelima iaitu menunaikan ibadah haji. Selain daripada itu, Mekah Al-Mukarramah juga terkenal dengan tokoh-tokoh ulama besar seperti tokoh-tokoh adab dan fiqh yang hebat.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menyaksikan pameran bersama Dr Thalal bin Mohammed Sulaiman Abu Al-Nur.

    Dalam usaha memelihara dan menghormati tanah suci Mekah Al-Mukarramah, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) berusaha untuk mengetengahkan dan memperkenalkan beberapa projek yang berkaitan dengan pemeliharaan tanah suci dan meluaskan jalinan kerjasama bersama pertubuhan dan universiti-universiti dalam sama-sama menjayakan projek yang diungkayahkan.

    “Antara projek yang dirancang untuk diadakan adalah nadwah ilmiah dan pameran yang berkaitan dengan isu-isu pemeliharaan tanah suci. Dan Alhamdulillah, atas kepercayaan yang diberikan maka Universiti Islam Sultan Sharif Ali telah dilantik sebagai penganjur pertama bagi menjayakan projek yang melibatkan institusi luar negara dan bertepatan dengan sempena Bandar Seri Begawan Ibu Negara Ketamadunan Islam bagi Rantau Asia Tahun 2019,” jelas beliau.

    Menurut kenyataan yang diberikan, pameran bertujuan untuk mempromosi projek-projek yang dilaksanakan dalam usaha memelihara tanah suci dan untuk memberikan pencerahan dan maklumat yang tepat mengenai tanah suci dan ibadah haji melalui teknologi maklumat dan media sosial.

    Pihak penganjur turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Penerbangan Awam kerana berkesudian membenarkan penggunaan Ruang Legar Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

    Kenyataan menyatakan, penggunaan tempat pameran berkenaan sangat signifikan dengan kedudukan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara zikir yang mementingkan kehidupan beragama dengan berpandukan falsafah Melayu Islam Beraja.

    Ciri-ciri ini akan dapat dinilai oleh pengunjung luar negara yang mana ia bukan hanya diperhatikan oleh pengunjung beragama Islam malah pengunjung yang bukan beragama Islam pun akan dapat mengambil manfaat dan maklumat yang berharga.

    Ini juga adalah sebahagian daripada usaha dakwah untuk mencari keredhaan Allah SWT.

    Pameran yang berharga berkenaan juga akan dapat dimanfaatkan sama oleh para bakal jemaah haji dan umrah agar gambaran-gambaran suasana akan dapat dirasai awal sebelum mereka berkunjung ke Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah.

    Sehubungan itu, pihak penganjur tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada perwakilan dari syarikat-syarikat agensi pelancongan yang mengendalikan pakej haji dan umrah kerana turut hadir dalam majlis yang penuh keberkahan berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda