ADEN – Satu rentetan kemenangan ‘ajaib’ telah menjulang pasukan bola sepak senior dan belia Yaman ke Piala Asia, menarik perhatian negara yang musnah oleh peperangan itu dan menawarkan satu matlamat di sebuah negara yang berpecah-belah itu.
Kelayakan adalah sesuatu yang baru pernah berlaku ke atas pasukan senior, yang ketika ini berpangkalan di Qatar, manakala ia satu pencapaian yang jarang bagi pasukan bawah-16 tahun yang masih berlatih di Yaman.
“Kelayakan telah menghubungkan penduduk Yaman, mereka telah membuatkan kami bangga,” kata Ahmed Sabahi, seorang penyokong di bandar pelabuhan Aden.
“Semua penduduk Yaman menyokong pasukan,” katanya.
Perang Yaman antara tentera prokerajaan sokongan tentera campuran yang diketuai Arab Saudi menentang pemberontak Huthi Syiah yang disokong Iran telah memasuki tahun keempatnya Mac lepas.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/04/YEMEN-1-15p8_280418.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/04/YEMEN-2-10p3_280418.jpg)
Konflik itu telah mengorbankan hampir 10,000 orang, puluhan ribu cedera dan dianggap sebagai krisis kemanusiaan paling teruk di dunia menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyebabkan penyakit-penyakit seperti kolera dan difteria merebak semula.
Pasukan senior menewaskan Nepal 2-1 pada 27 Mac, mara ke Piala Asia AFC 2019, yang akan diadakan pada bulan Januari hingga Februari di Emiriah Arab Bersatu, buat pertama kali dalam sejarah Yaman.
Bagi kejohanan bawah-16 tahun pula akan diadakan di Malaysia pada bulan September hingga Oktober.
Dalam usaha menubuhkan pasukan belia, para pemilih pemain membuat perjalanan ke seluruh negara, termasuk zon-zon perang dan sektor-sektor yang dikawal oleh pihak musuh.
Berada di ranking ke-125 dunia, pasukan senior Yaman tidak pernah memenangi satu pun perlawanan di Piala Teluk menentang jiran-jirannya sejak kejohanan itu dilancarkan pada tahun 1970.
Media Yaman kerap mengucapkan tahniah kepada pasukan dengan tajuk ‘kekalahan bermaruah’ jika mereka berjaya mengelakkan daripada dibelasah. Kelayakan ke Piala Asia dianggap tidak kurang daripada ‘keajaiban’.
Bola sepak, bukan politik
Secara ironinya, bola sepak Yaman mendapat manfaat daripada peperangan, di mana pasukan senior dipindahkan ke sebuah kem latihan di Qatar, yang mempunyai kemudahan canggih kerana negara itu dalam persediaan bagi menghoskan Piala Dunia 2022.
Jurulatih di Sanaa, Abd al-Salam al-Saadi, melihat satu lagi faktor penting iaitu para pemain tidak terjerumus dalam politik.
Perang Yaman telah menyebabkan infrastruktur, rumah, sekolah dan pelabuhan musnah. Berpuluh-puluh stadium telah dibom atau menjadi kem tentera bagi pelbagai pasukan bersenjata.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/04/YEMEN-5-15p8_280418.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/04/YEMEN-4-13p7_280418.jpg)
Bagi penyokong bola sepak di Yaman, kejayaan pasukan kebangsaan negara itu dalam kelayakan menawarkan harapan dan mengalihkan tumpuan mereka daripada kehidupan sukar.
“Ia telah membantu mengukirkan senyuman di wajah para belia Yaman, yang memerlukan sebab untuk bergembira dan melupakan,” kata Salah Hanash, seorang lagi penyokong di Aden.
Lebih daripada separuh daripada 27 juta penduduk Yaman berusia bawah 18 tahun.
Menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lebih daripada 1,500 kanak-kanak telah terbunuh dalam konflik itu, sementara ratusan kanak-kanak telah direkrut ke dalam militan.
Mengembalikan semangat
Selepas terhenti selama tiga tahun, bola sepak akhirnya kembali ke Aden, yang mana kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa telah mengisytiharkannya sebagai ibu negara, sementara Sanaa masih dalam kawalan pemberontak.
Liga kebangsaan telah digantung tetapi perlawanan-perlawanan bola sepak diadakan di bandar pelabuhan selatan, di mana kejohanan setempat dianjurkan antara daerah-daerah.
“Bola sepak di Yaman tidak mengumpulkan orang ramai yang anda lihat di negara-negara Teluk,” kata Fadel al-Wasabi, salah seorang daripada penyokong yang duduk di kerusi plastik berwarna hijau ketika menyaksikan dua kelab bersaing di atas padang lumpur bersebelahan dengan dinding yang dipenuhi dengan bekas tembakan.
“Mungkin sebab penduduk Yaman sibuk dengan mendapatkan keperluan asas mereka,” katanya, menjeling pada sebuah stadium berhampiran, yang dibom dan dipenuhi dengan runtuhan, tempat duduknya hanya tinggal cebisan runtuhan.
Ketua Pertubuhan Sukan Utama Aden, Ahmes Hussein Husseini, mengakui bahawa ia adalah tugas sukar, “Di sebalik bayang-bayang peperangan kami mencuba sebaik mungkin untuk mengembalikan semangat dan menyesuaikan diri dengan kehidupan kami.” – AFP