Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keamanan negara tanggungjawab semua

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Keamanan adalah nikmat kurniaan Allah SWT yang amat berharga, dengan adanya keamanan, rakyat dapat hidup dengan selesa, tidak ada huru-hara dan kekacauan.

    Manakala kemajuan pula dapat dijana dan keselamatan dapat dirasai, justeru, keamanan itu sangat penting dan berharga bagi sesebuah negara.

    “Oleh yang demikian, sesungguhnya anugerah keamanan dan keharmonian negara yang kita nikmati ini perlulah disyukuri dan dipertahankan oleh seluruh rakyat dan penduduk,” tekan khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Keamanan: Nikmat Paling Berharga, hari ini.

    Khatib menambah, di samping mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya, kita juga hendaklah mendukung perlembagaan negara, undang-undang dan peraturan negara kerana perkara ini juga menyumbang kepada keamanan negara yang sama dijaga dan dilindungi melalui pasukan yang menjaga keamanan iaitu antaranya yang utama ialah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    “Sesungguhnya dalam memastikan kesejahteraan dan keamanan sentiasa terkawal di negara kita ini, PPDB merupakan salah satu agensi keselamatan kerajaan yang tertua yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan di dalam menegakkan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat dan negara.

    Gambar Freepik

    “Sememangnya tugas menjaga keamanan negara merupakan tugas dan tanggungjawab utama PPDB yang amat mencabar, lebih-lebih lagi di dalam arus kemodenan dan teknologi yang semakin canggih ini. Di samping itu, masyarakat juga mempunyai peranan dalam sama-sama menjaga keamanan,” tekan khatib lagi.

    Justeru itu, khatib turut menyeru masyarakat agar bersama-sama melindungi dan menjaga keamanan negara kerana melindungi dan menjaga keamanan negara seharusnya ditanai bersama oleh masyarakat demi mempertahankan kedaulatan negara yang amat kita sayangi.

    Kerjasama yang padu antara PPDB dan masyarakat adalah sangat-sangat diharapkan dalam sama-sama menjaga kedaulatan negara iaitu dengan berganding bahu dalam membanteras jenayah demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara kita yang tercinta.

    Khatib turut menekankan, sesuai dengan era siber dan perkembangan teknologi yang semakin pesat, PPDB sentiasa berusaha bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di dalam meningkatkan prestasi, kualiti dan kecekapan dalam menangani trend jenayah yang semakin mencabar dan kompleks terutamanya jenayah siber yang semakin berleluasa.

    PPDB mengatur strategi-strategi dan merangka perancangan yang mantap dalam menangani jenayah-jenayah era baharu yang datangnya dalam pelbagai bentuk bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam mempertahankan kedaulatan dan kestabilan agar Negara Brunei Darussalam menjadi salah sebuah negara yang paling selamat di dunia.

    Dalam pada itu, PPDB juga akan sentiasa bersiap sedia dan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang semakin rumit dan kompleks agar pasukan polis akan sentiasa berada satu tapak di hadapan dalam memastikan keamanan sentiasa terjamin.

    Pada 1 Januari lalu, genaplah 103 tahun usia PPDB, maka khatib turut menyeru agar pegawai dan anggota pasukan polis hendaklah sentiasa menanai amanah secara profesional, berdisiplin tinggi, bersifat adil dan tidak pilih kasih, jadilah pegawai dan anggota pasukan yang proaktif dalam sama-sama menjadikan pasukan sebuah organisasi yang cemerlang, dipercayai dan disegani oleh masyarakat.

    Dalam hal ini, mereka juga diharap agar terus berusaha meningkatkan lagi pengetahuan dan mencapai ke tahap yang tinggi bagi memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

    “Jadilah contoh dan inspirasi yang baik kepada masyarakat agar kerjaya sebagai polis ini tidak dipandang sambil lewa, kerana kerjaya polis inilah yang bertanggungjawab dan diamanahkan bagi melindungi masyarakat daripada jenayah-jenayah yang mengancam kedaulatan negara,” tegas khatib.

    Di akhir khutbah Jumaat, khatib turut menyeru bagi sama-sama berdoa agar kita akan sentiasa berusaha mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT serta berkhidmat dengan penuh ikhlas dan amanah. Mudah-mudahan agama, bangsa dan negara kita akan sentiasa terpelihara serta mendapat perlindungan Allah SWT.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda