Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Keampuhan curly tail penjerat ikan

    Oleh Raz AS

    Kadang-kadang ia dipanggil sebagai curly tail, kadang-kadang pula sebagai grub, yang pastinya umpan jenis soft plastic ini memang terbukti berkesan bagi menjerat ikan daripada yang bersaiz kecil sehinggalah besar.

    Walaupun pada mulanya curly tail diciptakan untuk pancingan ikan air tawar di barat, seperti spesies largemouth bass dan smallmouth bass, namun kini ia juga popular dalam kalangan pemancing estuari dan laut.

    Meski penggunaannya kurang menyerlah berbanding umpan-umpan tiruan lain, tetapi kebanyakan pemancing menganggapnya sebagai senjata terakhir sekiranya umpan lain tidak menarik perhatian ikan.

    Walau bagaimanapun, jika kena dengan tempat, waktu dan spesies, umpan tiruan ini memang terbukti sangat ampuh menjerat ikan sejak berdekad lagi, jika tidak, mustahil ia akan tetap mendapat tempat dalam hati pemancing meskipun ia merupakan salah satu jenis tertua dalam kategori soft plastic.

    Seperti mana kebanyakan jenis soft plastic lainnya, curly tail akan memberikan persembahan yang lebih efektif jika dipasangkan dengan jig head. Teknik penggunaannya sangat mudah dan tidak memerlukan banyak latihan.

    Sama ada digabungkan dengan jig head berbentuk bulat mahupun jenis tirus, jenis mata kail keluar mahupun tersembunyi seperti Texas rig, semuanya sesuai digunakan bersama curly tail.

    Pergerakan ekornya yang lemah gemalai dan bergerak-gerak dek arus meski gulungan tidak dilakukan akan tetap menarik perhatian ikan-ikan pemalas yang ada berdekatan.

    Gulungan perlahan yang diselang seli dengan pergerakan twitching atau jerking merupakan antara teknik yang paling biasa digunakan untuk curly tail.

    Sementara itu bagi penggunaan di laut dalam pula, cukup sekadar menjatuhkannya ke dasar, berhenti dan perlahan-lahan digulung kembali.

    Teknik yang terlalu mudah untuk menggunakan curly tail ini boleh membuatkan sesetengah pemancing keliru kerana sudah terbiasa dengan aksi laju umpan-umpan tiruan lain seperti jig dan sebagainya, gulungan laju dan rentapan kasar boleh membuatkan ekor curly tail yang panjang dan lebar tersangkut pada mata kailnya sendiri.

    Berbeza dengan spesies pelagik yang selalu menyambar umpan tiruan aksi laju, curly tail menarik perhatian spesies-spesies penghuni dasar yang lebih suka mencuit sebelum mengulum umpan, oleh itu sekiranya pemancing tergesa-gesa menyentap joran sebaik merasai getuan kemungkinan besar mata kail tidak akan mengena atau ekor curly tail yang digunakan terputus.

    Cara terbaik adalah dengan menurunkan joran sebaik sahaja terasa sedikit perubahan berat di hujung kail dan melakukan sentapan apabila ia semakin memberat.

    Jika ikan hanya selalu menggigit bahagian ekornya sahaja, lebih-lebih lagi kerana saiz mata kail yang kecil badan curly tail bolehlah dipotong sedikit di bahagian depan agar badannya lebih pendek.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...