Keaslian kraf tangan anyaman mempesonakan

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Muiz Matdani

Adalah menjadi harapan sebuah negara memiliki rakyat yang rajin berusaha, berinovasi, rela berjarih dan berkarih, hingga mendorong keupayaan masyarakat ke arah kematangan dan sikap berdikari demi menjana perekonomian diri, keluarga dan juga negara.

Oleh yang demikian, semangat juang itulah yang jelas ditonjolkan oleh para pengusaha kraf tangan anyaman tempatan dalam mengetengahkan keistimewaan produk barangan mereka menerusi 1 Kampung 1 Produk (1K1P) bagi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong B semasa ditemui di kampung berkenaan, baru-baru ini.

“Alhamdulillah dengan adanya perusahaan 1K1P yang telah dijalankan sejak 15 tahun lalu hingga sekarang, ia sememangnya menunjukkan suatu perkembangan yang amat positif dari semasa ke semasa.

Daripada pembuatan hasil produk kraftangan anyaman berupa barangan dan juga perhiasan seperti bakul, takiding, siraung, nyiru dan sebagainya namun kini pelbagai kreativiti produk telah diketengahkan dengan kegunaan-kegunaan tertentu dalam kehidupan sehari-hari.

“Pastinya pengusaha-pengusaha di kampung ini meskipun sudah berusia namun perjuangan mereka dalam menerokai dunia keusahawanan kraf tangan anyaman ini begitu dapat dibanggakan kerana mereka berani bangkit dengan penuh keyakinan menghasilkan variasi produk atau barangan yang sememangnya mempunyai nilai estetika dan keaslian yang tersendiri.

Salah satu produk 1 Kampung 1 Produk (1K1P) bagi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong B ialah pelbagai produk kraf tangan anyaman yang pastinya memiliki keistimewaan dengan nilai estetika dan keaslian yang tersendiri dengan hasrat untuk sama-sama mendorong keupayaan masyarakat ke arah kematangan dan sikap berdikari demi menjana perekonomian diri, keluarga dan juga negara.
Dua orang pengusaha wanita seni kraf tangan anyaman, Hajah Raya (kanan) dan Hajah Subuh (kiri) yang jelas menunjukkan kesungguhan mereka dalam memperkasakan seni kraf tangan anyaman tradisi di negara ini.

Awang Kamis semasa ditemui penulis mengatakan perkembangan produk 1K1P kampung berkenaan dilihat semakin bergerak secara positif dari semasa ke semasa.
Antara kraf tangan yang dihasilkan.
Pembuatan kraf tangan memerlukan kesabaran dan ketelitian dalam menghasilkan produk yang berkualiti.

Besarlah harapan mereka berjuang dan terus berjuang demi memperolehi sambutan yang menggalakkan di kalangan masyarakat di mana mereka berpijak,” kata Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang yang juga selaku pengerusi MPK Jerudong B dengan penuh harapan semasa berkesempatan ditemui penulis bersama rakan-rakan Media Permata yang lain, baru-baru ini.

Memanfaatkan sumber alami

Salah seorang pengusaha kraf tangan yang kini berusia 68 tahun yang juga selaku ahli MPK berkenaan, Hajah Raya binti Haji Hujan menjelaskan bahawa kesemua produk barangan kraf tangan anyaman ini bersumberkan daripada sumber alam semula jadi seperti beberapa jenis buluh yang terpilih dan kebiasaannya diperolehi di kawasan hutan belukar.

Buluh Liat dan juga Buluh Lempaki adalah antara jenis buluh yang sesuai digunakan dalam menghasilkan produk kraf tangan anyaman seperti bakul dan takiding.

Selain itu, sejenis daun pandan yang disebut Pandan Pantai kerana kebiasaannya tumbuh di persisiran pantai juga menjadi salah satu bahan asas bagi menghasilkan beberapa produk kraf tangan anyaman MPK berkenaan seperti pembuatan anyaman beg dengan pelbagai saiz, bentuk dan corak.

“Setelah memperolehi bahan-bahan asas dan menjalankan proses-proses tertentu seperti sesi pemotongan, menghalusi, pengecatan sehingga kepada proses pengeringan, kemudian baharulah boleh diciptakan rekaan barangan anyaman yang menarik dengan pelbagai bentuk dan saiz seperti, nyiru, bakul, siraung, tikar, beg, dan sebagainya,” jelas beliau yang sudah bergiat dalam dunia kesenian kraftangan anyaman ini lebih 40 tahun dengan senyuman manis.

Lebih 60 corak seni anyaman

Dalam pada itu, Hajah Raya turut menyatakan bahawa setiap produk yang dihasilkan boleh disiapkan sekurang-kurangnya dalam sehari namun tertakluk kepada saiz dan bentuk serta tahap kesulitan rekaan corak tertentu.

“Lebih 60 jenis corak seni anyaman secara keseluruhannya yang telah dihasilkan. Antaranya Mata Punai, Bunga Rumput dan Buah Pelajau. Hakikatnya seni corak anyaman dari dulu hingga sekarang turut mengalami perkembangan seperti dari segi corak dari yang biasa sehingga rekaan corak yang kompleks.

“Begitu juga dari segi warna, jika dahulu kebanyakan produk kraf tangan hanya menggunakan warna asal bahan yang digunakan namun kini segalanya lebih menarik dengan diserikan warna-warna cat yang menarik meliputi warna yang terang dan juga lembut.

“Seni anyaman ini sememangnya sudah menjadi kelaziman untuk mengisi masa lapang dalam kehidupan sehari-hari sejak di usia muda lagi. Ketika bersantai bersama ahli keluarga di sawah padi.

Itulah detik-detik terindah kami dalam mempelajari dan mengasah kemahiran seni anyaman kraf tangan ini,” tambahnya lagi yang merupakan salah seorang pesara guru di pusat kesenian di negara ini ketika mengimbas kenangan manis suatu ketika dahulu dalam menerokai seni anyaman kraftangan bagi menghasilkan produk barangan kegunaan harian seperti takiding, bakul, bayung dan nyiru bersama ahli keluarga tercinta.

Produk penuh inovasi dan kreativiti

Manakala, Hajah Subuh binti Haji Pudin yang juga merupakan salah seorang pengusaha yang memiliki kemahiran dalam menghasilkan pelbagai produk kraf tangan anyaman di kampung berkenaan juga menjelaskan bahawa pastinya gaya kreativiti produk kraf tangan anyaman yang dihasilkan oleh MPK berkenaan memiliki keunikan dan keistimewaan yang tersendiri dengan pelbagai kegunaan tertentu sehingga mampu menawan hati dan mata yang memandangnya.

Kini produk kraf tangan anyaman bukan hanya terhad kepada barangan dan perhiasan seperti bakul, takiding, siraung, nyiru, bayung dan sebagainya. Namun pelbagai produk kraftangan anyaman penuh kreativiti telah dihasilkan antaranya beg pensil; berbagai saiz beg untuk menyimpan duit, beg telefon bimbit dan komputer riba; dan sebagainya.

“Inilah antara produk-produk kraf tangan bersumberkan bahan-bahan alam semula jadi yang perlu dimartabatkan oleh generasi-generasi muda kini agar ia tidak pupus ditelan zaman. Merekalah yang kami harapkan sebagai penerus warisan dan budaya masyarakat Melayu kita,” ujarnya yang kini berusia 70 tahun dengan nada penuh harapan besar.

Sambutan begitu menggalakkan dengan itu, Awang Kamis selaku pengerusi MPK berkenaan turut mengemukakan kesyukuran dengan adanya sambutan yang amat menggalakkan terutamanya masyarakat di negara ini seperti dari segi penerimaan tempahan hasil produk kraftangan anyaman sebagai cenderahati atau buah tangan dari semasa ke semasa.

“Pengalaman dalam mengikuti ekspo dan jualan sama ada di dalam dan juga luar negara seperti Malaysia dan juga Jepun itu sememangnya sesuatu platform yang amat baik bagi kami selaku wakil-wakil daripada pengusaha tanah air untuk mengetengahkan betapa unik dan istimewa nilai kreativiti produk kraftangan yang telah dihasilkan oleh masyarakat Brunei di mata dunia luar.

Di samping itu, dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman serta berkongsi pandangan bersama,” jelasnya lagi yang juga turut memiliki perancangan untuk mengadakan kelas atau bengkel seni kraftangan anyaman yang dibukakan kepada para penduduk khususnya golongan belia dan beliawanis di kampung berkenaan pada masa akan datang demi memajukan prestasi MPK dari masa ke semasa semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.