Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
Kegigihan sekumpulan warga emas yang mengusahakan kebun sayur-sayuran dan buah-buahan di Ladang Kebun Komunal Sarubing di kawasan Tasik Sarubing, Kampung Belimbing dan Kampung Subok boleh dijadikan contoh kepada generasi muda.
Kebun yang dahulunya dipanggil Ladang Sapi itu digunakan sebagai tapak menternak sapi dan kerbau oleh penduduk kampung berkenaan dan kini ia telah dijadikan sebagai ladang kebun bagi penduduk kampung yang kebanyakkannya terdiri daripada golongan warga emas dan penglibatan daripada beberapa belia-belia kampung berkenaan.
Pada awalnya kebun tersebut ditubuhkan untuk memberi inspriasi kepada belia-belia kampung untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian.
Seperti dalam petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1440 Hijrah/2019 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, ‘Beta telah memperkenankan satu inisiatif yang digelar Projek Rintis, yang merangkumi penawaran tapak secara rintis untuk percubaan’.
Titah Baginda lagi, projek ini memberi peluang kepada rakyat, terutama para belia dan penduduk untuk turut bergiat dalam aktiviti pertanian ataupun penternakan.
COVID cetus kebun komunal
Melihat kepada beberapa titah Baginda mengenai sektor pertanian, penduduk Kampung Belimbing dan Kampung Subok telah mengambil inisiatif dengan melibatkan beberapa kelompok masyarakat berkenaan yang mempunyai pengalaman dalam hal ehwal pertanian.
Haji Abdul Rahim bin Haji Bini salah seorang pemilik kebun di ladang berkenaan menjelaskan, “ladang kebun yang dianggarkan seluas 30 hektar itu, setakat ini telah diusahakan oleh 40 orang daripada golongan belia hinggalah warga emas.
Beliau ketika ditemui di Gerai Tasik Sarubing mengongsikan bagaimana beliau mula mengusahakan Ladang Kebun Komunal Serubing itu selain berkongsi cabaran yang dilalui oleh pekebun terutamanya ketika musim kemarau.
“Cabaran apabila musim kemarau melanda, kami terpaksa mengambil air menggunakan dram untuk menyiram tanaman,” jelasnya.
Ini adalah cabaran yang dihadapi oleh pekebun di ladang berkenaan dan walaupun ia dilihat sesuatu yang memenatkan namun ia terpaksa diharungi untuk mendapatkan hasil yang tidak sia-sia.
Ladang itu bermula pada tahun 2019 iaitu semasa gelombang pertama penularan COVID yang mana pada waktu itu ladang tersebut hanya diusahakan oleh beberapa individu sahaja.
Hasil yang mengembirakan
Awang Tamin bin Haji Tangkim, 75, salah seorang warga emas yang turut sama mengusahakan kebun di ladang berkenaan sudah melibatkan diri lebih 30 tahun dalam pertanian.
Sebelum berkebun di ladang komunal itu, beliau mempunyai tanaman di Bukit Markucing dan menurutnya selain untuk menambah pendapatan sampingan ia juga mampu dijadikan sebagai terapi untuk menghiburkan hati apabila melihat hasil yang diusahakan membuahkan hasil yang mengembirakan.
Manakala seorang lagi, pengusaha kebun di ladang berkenaan yang sudah mula bertani sejak tahun 70an, mengongsikan beliau terlibat dalam pertanian itu adalah untuk mencari pendapatan sendiri ketika itu, selain menampung keperluan persekolahan.
Ketika mengongsikan pengalaman kali pertama meraih hasil pendapatan, beliau hanya mampu memberi perasaan gembira yang tidak dapat dibayangkan, ditambah lagi dengan jualan hasil kebun yang diusahakan, dapatlah membeli ke-perluan sekolah seperti baju sekolah dan lainnya.
“Ia memberi kepuasan kepada diri kerana dapat menghasilkan pendapatan hasil daripada titik peluh sendiri,” tambahnya.
Manakala Abas Haji Tengah, 71, yang cukup terkenal dalam kalangan pengusaha kebun di ladang itu mula mengusahakan kebunnya seawal pukul 6:30 pagi hingga 12 tengah hari.
Ketika ditanya mengenai usia dan tenaga yang dimilikinya, beliau bukan sahaja mengambil permakanan yang sihat namun beliau telah mengamalkan meminum apa sahaja jenis madu setiap hari selama 23 tahun.
Selain mengusahakan kebun di ladang tersebut, beliau juga akan ke hutan untuk mencari daun silat dan ke wasai untuk mengambil daun nyirik seminggu sekali, katanya.
Dalam pada itu, walaupun ladang kebun itu turut melibatkan golongan belia, ia merupakan satu cara untuk menarik lebih ramai lagi belia agar terlibat dalam pertanian selain dapat bertukar pandangan daripada orang lama dan orang muda dari segi mendapatkan hasil yang memuaskan.