Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebajikan, kesejahteraan OKU sentiasa dijaga

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Di Daerah Brunei dan Muara, sebanyak 50 buah masjid telah dilengkapi kemudahan laluan untuk kerusi roda atau tempat laluan golongan orang kurang upaya (OKU).

    Manakala itu, sebanyak 35 buah tandas telah disediakan bagi kegunaan jemaah golongan istimewa dan 26 kemudahan tempat letak kereta khusus untuk golongan berkenaan.

    Bagi prasarana golongan OKU di masjid-masjid Daerah Tutong pula, terdapat tujuh kemudahan laluan untuk kerusi roda, empat buah tandas dan dua tempat letak kereta.

    Di Daerah Belait terdapat lima tempat laluan khas, sebuah tandas dan sebuah tempat letak kereta sementara itu, di Daerah Temburong pula hanya terdapat tiga laluan khas untuk jemaah OKU namun belum terdapat tandas dan tempat letak kereta khas yang tersedia buat masa ini.

    Lazimnya bagi masjid-masjid baharu sememangnya sudah dilengkapi dengan kemudahan prasarana untuk golongan berkenaan tetapi bagi masjid-masjid lama sahaja yang dilihat masih tidak dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan tersebut.

    Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bagi menjawab persoalan yang disuarakan oleh Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin berhubung pentingnya penilaian semula dilakukan oleh pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terhadap masjid-masjid utama yang sedia ada untuk memastikan prasarana yang mencukupi bagi jemaah golongan OKU, pada hari ke-8 Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.

    Jelas, Yang Berhormat Pehin, penyediaan kemudahan prasarana berkenaan tidak semestinya daripada dana kerajaan namun kebiasaannya menggunakan dana rakyat iaitu hasil wakaf yang telah mempercepatkan lagi perlaksanaan penyediaannya.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan bahawa pada masa ini sebanyak 47 buah bilik penyempurnaan jenazah, dan 52 kereta jenazah sebanyak telah disediakan di Daerah Brunei dan Muara.

    Orang ramai juga dilihat turut mewakafkan barangan kelengkapan jenazah seperti kain kafan dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda