Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Aktiviti keagamaan dan kebajikan terus giat dilaksanakan oleh pelbagai pihak di negara ini dalam mengambil keberkatan bulan Ramadan ini yang tinggal kurang daripada seminggu sahaja lagi.
Keluarga Datu Seri Laila (DSL) Haji Samat bin Sahap dan Dayang Kumpal binti Haji Abu Bakar turut tidak melepaskan peluang melipat gandakan pahala dalam bulan suci ini dengan projek amal menghulur sumbangan membantu keluarga terdekat waris DSL Haji Samat sebagai persiapan menjelang Syawal.
Majlis penyerahan sumbangan yang dikendalikan buat tahun ketiga berkenaan telah diadakan di kediaman Haji Gharif bin DSL Haji Samat di Kampung Salambigar.
Seramai 23 orang disenaraikan untuk menerima sumbangan berkenaan, terdiri daripada warga emas, anak-anak yatim dan warga orang kelainan upaya (OKU).
Hadir sama ialah anak-anak DSL Haji Samat iaitu Haji Harun, Haji Gharif dan Hajah Tiapsah.
Terdahulu, majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Haji Rosdi bin Haji Hamidi diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Bersama majlis, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif.
