Sunday, January 19, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran asrama: Pelbagai kegagalan dikesan

    GUYANA, 21 JAN – Sebuah suruhanjaya kerajaan di Guyana yang ditugaskan untuk menyiasat kebakaran yang mengorbankan 20 kanak-kanak di sebuah sekolah berasrama orang asli menemui pelbagai kesilapan dan kegagalan sistematik.

    Menyeru pembaharuan bagi mengelakkan berulangnya kebakaran maut 2023, laporan yang dibentangkan kepada Presiden Irfaan Ali lewat Jumaat mendapati terdapat kelewatan dalam mendapatkan bantuan dan menghubungi balai bomba, dan apabila bantuan tiba, terdapat isu-isu berkaitan dengan pengawalan orang ramai dan akses ke asrama yang terletak di pekan Mahdia berhampiran sempadan Brazil.

    Laporan itu juga menyatakan bahawa terdapat kekurangan bekalan air dan mendapati ‘kekurangan’ dalam perkhidmatan bomba dan peralatan memadam kebakaran.

    “Faktor-faktor ini membantu mempercepatkan kebakaran besar ini,” kata Brigadier Jeneral Joseph Singh, pengerusi suruhanjaya dan bekas ketua kakitangan tentera.

    Laporan tersebut mengesahkan bahawa kebakaran Mei 2023 itu sengaja dilakukan oleh seorang pelajar berusia 15 tahun, yang kemudiannya ditangkap dan didakwa atas pelbagai tuduhan membunuh.

    Seramai 19 pelajar dan anak damit lelaki kepada pengurus asrama telah meninggal dunia.

    Sekurang-kurangnya 14 pelajar lain di bawah umur 18 tahun telah diselamatkan dari bangunan satu tingkat yang terbakar itu.

    Penyiasat mendapati bahawa banyak tingkap asrama itu dilengkapi dengan gril besi untuk menghalang pengunjung dewasa yang tidak diingini, dan pegawai asrama yang panik tidak dapat mencari kunci untuk lima pintu yang tidak mempunyai gril tepat pada masanya bagi menyelamatkan orang.

    Laporan itu menyebut ‘kegagalan manusia’ di tengah-tengah ‘keadaan huru-hara dan kebakaran’. – AP

    Foto bertarikh 22 Mei 2023 oleh Jabatan Penerangan Awam Guyana ini menunjukkan asrama sebuah sekolah menengah dibakar di Mahdia, Guyana. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda