LONDON, 16 MEI – Kebakaran besar berlaku di tapak bekas pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) di Oxfordshire, tenggara England, dengan saksi melaporkan bunyi letupan kuat dan asap hitam tebal menjulang dari lokasi kejadian, lapor PA Media/dpa.
Kira-kira 10 pasukan bomba dan penyelamat sedang berusaha memadamkan kebakaran di Bicester, yang mencetuskan tindak balas besar dan amaran kepada penduduk tempatan agar kekal berada di dalam rumah.
“10 pasukan bomba dan penyelamat sedang menangani insiden serius yang sedang berlangsung di Bicester Motion sejak 6:39 petang kelmarin.
“Kami menasihatkan orang ramai agar mengelakkan kawasan itu dan penduduk tempatan agar kekal berada di dalam rumah serta menutup semua tingkap sehingga diberitahu kelak,’’ menurut Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Oxfordshire.
Ahli majlis tempatan Sam Holland berkata kebakaran berlaku di Bicester Motion, sebuah pusat automotif dan penerbangan bersejarah yang terletak di bekas pangkalan udara itu.
Ia menempatkan lebih 50 perniagaan pakar yang memberi tumpuan kepada pemulihan dan kejuruteraan kereta klasik.
Punca kebakaran masih belum diketahui. – Bernama
