Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran besar Ezeiza berjaya dikawal

    EZEIZA, 16 NOV – Kebakaran besar yang tercetus akibat letupan besar di sebuah taman perindustrian berhampiran ibu negara Argentina kini telah berjaya dikawal, menurut pihak berkuasa tempatan kelmarin.

    Pegawai juga memaklumkan bahawa kebanyakan daripada lebih 20 orang yang mengalami kecederaan ringan dalam insiden itu telah dibenarkan keluar dari hospital.

    Lewat Jumaat, tiang asap tebal berwarna hitam dan jingga menyelubungi ruang udara perbandaran Ezeiza, kira-kira 40 kilometer dari Buenos Aires dan berhampiran lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di negara itu.

    Letupan dan kebakaran menimbulkan panik dalam kalangan penduduk tempatan. Bencana itu memecahkan cermin beberapa rumah dan menyebabkan kerosakan kecil pada bangunan lain.

    Kebakaran itu masih belum dipadam sepenuhnya tetapi “telah dikawal, yang bermakna ia tidak akan merebak melebihi kawasan yang sedang terbakar sekarang,” kata Fabian Garcia, pengarah Pertahanan Awam wilayah Buenos Aires, kepada media tempatan. Insiden itu “mempunyai ciri-ciri ganas, tetapi situasi tidak pernah di luar kawalan sehingga menimbulkan risiko kepada penduduk,” tambah Garcia.

    Kualiti udara sedang dipantau di kawasan terjejas. Partikel asap yang dikesan menjadi kebimbangan, “tetapi ia bukan situasi yang sangat berbahaya,” jelas Garcia.

    Kepulan asap hitam tebal kelihatan ratusan meter di langit malam, diwarnai jingga akibat kebakaran besar, seperti yang disaksikan oleh wartawan AFP berhampiran lokasi. “Letupan dan kebakaran yang berlaku di pelbagai kilang adalah besar,” kata Datuk Bandar Ezeiza, Gaston Granados, sebelum ini.

    “Kami cuba mengawal dan memadam kebakaran tetapi setakat ini belum berjaya,” katanya di televisyen C5N, sambil menambah bahawa cermin rumahnya sendiri yang berhampiran telah pecah dan mereka sedang memindahkan keluarga dari kawasan itu. – AFP

    Bomba berusaha memadamkan kebakaran selepas letupan di kawasan perindustrian Ezeiza, wilayah Buenos Aires, Argentina pada 15 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda