EL SEGUNDO, 3 OKT – Satu kebakaran meletus di loji penapisan minyak Chevron berhampiran Los Angeles semalam, dengan api menjulang tinggi ke udara sehingga kelihatan beberapa batu dari kawasan itu.
Pihak berkuasa di El Segundo, California, menggesa orang ramai supaya kekal berada di dalam rumah. Dalam kenyataan yang dikeluarkan kira-kira 30 minit selepas api mula marak, mereka menegaskan tiada ancaman segera terhadap keselamatan awam dan tiada arahan pemindahan dikeluarkan.
Menurut kenyataan syarikat lewat semalam, tiada kecederaan dilaporkan di Loji Penapisan Chevron El Segundo dan semua kakitangan telah dikenal pasti selamat.
Sistem pemantauan juga menunjukkan api tidak merebak melepasi pagar fasiliti tersebut. Punca kebakaran masih belum didedahkan.
Polis dan bomba El Segundo tidak segera memberi komen mengenai kebakaran itu, yang kelihatan tercetus secara tiba-tiba.
Penyelia Daerah LA, Holly Mitchell memberitahu KCAL-TV bahawa pasukan bomba berjaya mengehadkan kebakaran kepada satu bahagian loji penapisan.
Pejabat Gabenor California, Gavin Newsom, berkata pihaknya sedang memantau keadaan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri dan tempatan bagi melindungi komuniti sekitar.
El Segundo ialah sebuah bandar tepi pantai kira-kira 1.6 kilometer di selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX). Datuk Bandar LA, Karen Bass, dalam satu hantaran di X berkata tiada kesan terhadap lapangan terbang tersebut.
“LAFD bersiap sedia membantu jika ada permintaan bantuan bersama,” katanya. – AP


