Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran besar musnahkan menara mercu tanda Zagreb

    ZAGREB, 19 NOV – Kebakaran besar yang meletus di sebuah bangunan pencakar langit mercu tanda di kawasan pusat bandar ibu negara Croatia, Zagreb, hampir memusnahkan keseluruhan bangunan tetapi tiada korban jiwa dilaporkan.

    Bangunan itu dikenali sebagai menara Vjesnik sempena nama sebuah akhbar popular yang diterbitkan di sana sehingga kira-kira 12 tahun lalu. Kebakaran bermula berhampiran bahagian atas bangunan 16 tingkat itu dan merebak dengan cepat ke bawah, menghalang kira-kira 100 anggota bomba daripada memasuki bangunan, menurut media Croatia.

    Bangunan itu hampir kosong ketika kebakaran berlaku berhampiran tengah malam pada Isnin. Kebakaran dilaporkan berjaya dipadamkan menjelang tengah hari kelmarin, walaupun struktur logam dan konkrit masih mengeluarkan asap.

    “Daripada apa yang saya lihat di tapak dan di dalam bangunan, kerosakannya malangnya menyeluruh, tetapi saya percaya kerajaan dan pemilik lain akan memulakan kerja baik pulih bangunan ini di lokasi penting bandar kita secepat mungkin,” kata Datuk Bandar Zagreb, Tomislav Tomasevic.

    Bahagian bangunan dilaporkan jatuh akibat kebakaran yang dipercayai merebak melalui saluran pengudaraan. – AP

    Anggota bomba berusaha memadam kebakaran yang melanda menara Vjesnik, yang sebelum ini menempatkan kebanyakan syarikat media Croatia, di Zagreb, Croatia, pada 18 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda