Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran dapur, dua kanak-kanak selamat

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Tindakan cekap anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan dua orang kanak-kanak dalam insiden kebakaran dapur di sebuah flat di Kampung Kiarong, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, seramai lapan orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Beribi yang diketuai oleh Watch Komander Pasukan C, DSO Haji Yusly bin Haji Tamit dikejarkan ke insiden berkenaan pada pukul 7:30 pagi.

    Kenyataan menyatakan bahawa apabila anggota bomba dan penyelamat sampai di tempat panggilan didapati asap keluar dari tingkat 3, bangunan berkenaan tetapi didapati api yang melibatkan tambak di dalam dapur telah pun padam dengan sendirinya sebelum bomba sampai.

    Anggota bomba dan penyelamat bertindak memotong pintu pagar rumah yang berkunci menggunakan bolt cutter untuk memasuki rumah berkenaan. Anggota bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkan dua orang kanak-kanak iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang terperangkap di dalam rumah itu dalam masa 5 minit.

    Kenyataan menyatakan bahawa tidak ada sebarang kece-deraan atau korban jiwa berlaku dan punca api serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. JBP menyarankan orang ramai untuk memastikan bahawa kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api jenis debu kering, selimut api dan alat pengesan asap, memastikan masakan di dapur tidak ditinggalkan dan memeriksa keadaan dapur sebelum keluar rumah, jangan sesekali meninggalkan kanak-kanak bersendirian di rumah, memastikan pemasangan pendawaian dan peralatan elektrik di dalam kediaman mereka dilaksanakan oleh pekerja yang bertauliah, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah serta memastikan untuk menutup atau mencabut kepala gas jika tidak digunakan dan menggantikan kepala gas setiap lima tahun serta hos gas setiap dua tahun mengikut piawaian pihak BSM.

    JBP turut menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba, Kursus Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.

    Kenyataan juga menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden melibatkan kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dengan segera dan memberikan maklumat yang tepat.

    Pintu pagar rumah yang berkunci terpaksa dipotong oleh anggota bomba dan penyelamat untuk memasuki rumah berkenaan dalam kejadian kebakaran dapur di sebuah flat di Kampung Kiarong, kelmarin.
    Tambak di dapur yang hangus semasa insiden kebakaran di sebuah flat di Kampung Kiarong.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda