Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Sebuah rumah musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Bolkiah A, pagi tadi, dengan seramai 14 penghuni rumah telah pun keluar dengan selamat manakala seorang mangsa terperangkap dalam kebakaran tersebut.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Kebun, Balai Bomba Pelancaran dan Balai Bomba Bandar Seri Begawan telah dikejarkan ke lokasi tersebut.
Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian telah mendapati sebuah rumah jenis satu tingkat telah terbakar keseluruhannya namun segera bertindak memadam kebakaran.
Kebakaran berjaya dikawal dalam masa 20 minit.
Mangsa yang terperangkap telah ditemui oleh pihak Polis Forensik dan seterusnya diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan setiap kediaman dilengkapi dengan peralatan memadam api iaitu alat pemadam api ringkas jenis debu kering 2kg dan selimut api serta memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah.
Orang ramai juga disarankan supaya tidak meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas, hendaklah membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan serta memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Elektrik.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hubungi talian kecemasan 995 dan berikan maklumat yang tepat.