Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran di Lapangan Terbang Luton, penerbangan dibatalkan

    LONDON, 11 OKT – Ribuan pelancong berdepan gangguan apabila semua penerbangan hari ini dibatalkan di lapangan terbang Luton di London selepas kebakaran melanda sebuah bangunan tempat letak kereta yang baharu dibina, memusnahkan kenderaan dan sebahagian struktur bangunan itu runtuh.

    Empat anggota bomba dan seorang pekerja lapangan terbang dirawat di hospital kerana terhidu asap selepas kebakaran, yang meletus petang kelmarin.

    Semua penerbangan dibatalkan sehingga sekurang-kurangnya jam 3 petang, menurut kenyataan lapangan terbang itu dan bakal penumpang diminta untuk menjauhkan diri kerana kru kecemasan masih berada di tempat kejadian.

    Luton, kira-kira 56 kilometer di utara pusat London, merupakan hab penting bagi easyJet, Ryanair dan syarikat penerbangan tambang murah lain yang menyediakan perkhidmatan penerbangan ke destinasi di United Kingdom dan Eropah. Beberapa penumpang terpaksa menunggu di stesen kereta api yang berhampiran kerana lapangan terbang ditutup.

    Nikodem Lesiak, seorang pelajar universiti yang cuba pulang ke Poland, berkata dia telah bermalam di stesen itu.

    “Apabila kami tiba di sini, kami mendapati bahawa Luton sedang terbakar dan semuanya ditutup, dan kami sepatutnya mempunyai penerbangan pada jam 7:50 hari ini tetapi ia dibatalkan,” katanya.

    Video yang dimuat naik di media sosial dan di laman web saluran berita Britain menunjukkan kenderaan polis dan bomba berkumpul di luar struktur tempat letak kereta berbilang tingkat di mana tingkat atasnya terbakar. Tempat letak kereta untuk Terminal 2 runtuh sebahagiannya. – AP

    Kenderaan yang terbakar, tertimbus di antara serpihan bangunan tempat letak kereta bertingkat di Lapangan Terbang Luton, England pada 11 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda