Friday, January 3, 2025
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran di pusat pemulihan dadah ragut 32 nyawa

    TEHRAN, 3 NOV – Angka korban akibat kebakaran di pusat pemulihan dadah di utara Iran, meningkat kepada 32 orang, lapor media tempatan hari ini, meningkat daripada 27 orang.

    “Seramai 32 orang telah terkorban dalam kebakaran yang berlaku di pusat pemulihan dadah di Langarud, sebuah bandar di wilayah utara Gilan,” lapor agensi berita ISNA yang memetik Timbalan Gabenor wilayah itu, Mohammad Jalai.

    Jalai berkata 16 lainnya cedera dalam kebakaran itu, empat daripadanya berada dalam ‘keadaan kritikal’.

    Laman web berita Mizan Online badan kehakiman sebelum ini melaporkan 27 maut dan 12 cedera.

    Punca kebakaran masih tidak diketahui, tetapi ketua hakim, Esmail Sadeghi, telah membuka siasatan, kata Mizan dan pusat itu boleh memuatkan sehingga 40 orang. Sadeghi berkata, beberapa individu yang disyaki telah ditangkap termasuk pengurus pusat itu.

    Rakaman kebakaran yang disiarkan oleh ISNA menunjukkan bahawa kebakaran itu menyala dan asap tebal naik ke udara. Rakaman lain menunjukkan pasukan kecemasan, anggota bomba dan ambulans berkumpul di luar tapak yang musnah setelah kebakaran berjaya dikawal, dengan gambar menunjukkan bumbung pusat itu hancur, tingkapnya pecah dan dinding menjadi hitam disebabkan asap.

    Pada bulan Ogos, kebakaran berlaku di Bazaar Besar Tehran, merosakkan beberapa buah kedai namun tidak menyebabkan sebarang kematian.

    Pada Januari 2017, kebakaran di pusat membeli-belah Plasco 15 tingkat di Tehran, meragut sekurang-kurangnya 22 nyawa, termasuk 16 anggota bomba. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda