Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran di Tawau: Nenek gendong dua cucu selamatkan diri

    TAWAU, 18 MAC – Seorang nenek nekad menggendong dua cucunya dan meredah lumpur serta air laut, demi menyelamatkan diri apabila rumah mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Kurnia Jaya di sini, lewat petang semalam.

    Almah Puyung, 63, salah seorang mangsa kebakaran melibatkan 700 rumah atas air itu, berkata ketika kejadian dia baru sahaja terlelap apabila tiba-tiba terdengar jiran berteriak ‘kebakaran’.

    “Saya tidak fikir apa, saya gendong cucu saya berumur enam bulan serta satu tahun yang berada dalam buaian dan terus menyelamatkan diri,” katanya dalam nada sebak kerana mengenangkan rumah yang didiami lebih 15 tahun itu musnah sekelip mata dan tiada harta dapat diselamatkan.

    Selain itu, Normah Kapala, 56, yang tidak dapat berjalan kerana menghidap penyakit buah pinggang tahap lima, didukung anak lelakinya untuk menyelamatkan diri.

    “Menantu saya pula meluru mendukung keluar anak perempuan saya bersama tong oksigen kerana dia menghidap asma teruk dan tidak dapat berjalan,” katanya yang menambah hanya tong oksigen itu sempat diselamatkan memandangkan rumah mereka agak jauh dari daratan.

    Normah, bagaimanapun, bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat, termasuklah seorang lagi anak perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam, yang telah berlari keluar lebih awal.- Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda