SEOUL, 23 MAC – Sekurang-kurangnya dua anggota bomba terkorban dalam kebakaran hutan di Korea Selatan, manakala lebih 200 penduduk di 15 kampung selatan telah diminta untuk berpindah, lapor pihak berkuasa kelmarin.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan, kebakaran yang bermula di daerah Sancheong pada petang Jumaat telah memaksa pihak berkuasa menggerakkan 304 anggota bomba, bersama 20 helikopter, ke kawasan tersebut.
Dua anggota bomba telah ditemukan mati dan dua individu masih belum dapat dijumpai.
Namun tidak dipastikan sama ada mereka juga anggota bomba.
Kebakaran turut berlaku di beberapa kawasan lain di tengah dan selatan wilayah, dengan Perkhidmatan Hutan Korea mengeluarkan amaran kebakaran ‘tertinggi’ di 12 lokasi, termasuk Busan dan Daejeon.
Pemangku Presiden, Choi Sang-mok, mengarahkan agensi berkaitan untuk ‘menggerakkan semua peralatan dan kakitangan’ bagi memadam kebakaran dengan segera.
Beberapa jenis cuaca ekstrem, seperti gelombang haba atau hujan lebat, mempunyai kaitan yang kukuh dengan perubahan iklim.
Fenomena lain seperti kebakaran hutan, kemarau, ribut salji dan ribut tropika boleh berpunca daripada gabungan faktor yang kompleks. – AFP
