JAKARTA, 21 JULAI – Tiga orang maut dan lebih 500 yang lain diselamatkan selepas sebuah feri terbakar di pulau Sulawesi Indonesia, kata pegawai kecemasan hari ini.
Para penumpang melompat ke dalam laut dengan jaket keselamatan selepas kebakaran berlaku kelmarin pada feri KM Barcelona 5, ketika ia belayar ke Manado, menurut pengawal pantai Indonesia.
Video yang dikeluarkan oleh agensi penyelamat Manado menunjukkan sebuah kapal pengawal pantai menyembur air ke atas feri itu, yang mengeluarkan asap hitam.
Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini melaporkan lima orang maut dalam kemalangan itu, tetapi kemudian menyemak semula jumlah kematian kepada tiga.
“Sehingga kini, pasukan penyelamat bersama masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat kerana data masih berkembang,” kata ketua agensi penyelamat Manado, George Leo Mercy Randang, kepada AFP hari ini.

“Siaran kami masih dibuka 24 jam sehari, sekiranya keluarga ingin melaporkan tentang saudara mereka yang hilang,” tambahnya.
Kira-kira 568 orang diselamatkan dari feri dan air manakala tiga lagi ditemui mati, kata agensi mencari dan menyelamat negara itu dalam satu kenyataan hari ini.
Log feri itu hanya mendaftarkan 280 penumpang dan 15 kru feri.
Media tempatan melaporkan feri itu mempunyai kapasiti untuk 600 orang.
Kemalangan yang berlaku di laut adalah kejadian biasa di kepulauan Asia Tenggara yang mempunyai pulau sekitar 17,000, sebahagiannya disebabkan oleh piawaian keselamatan yang lemah atau cuaca buruk.
Kebakaran kelmarin berlaku hanya beberapa minggu selepas feri lain karam di pulau peranginan popular Bali akibat cuaca buruk, mengorbankan kira-kira 19 orang. – AFP