Kebakaran, grafiti rosakkan masjid di Al-Bireh

AL-BIREH, PALESTIN, 27 JULAI – Sebuah masjid di bandar Tebing Barat Al-Bireh dirosakkan oleh kebakaran dan grafiti Bahasa Ibrani hari ini, dalam serangan awal pagi yang dipersalahkan ke atas peneroka Yahudi.

Wartawan AFP yang tiba di tempat kejadian mendapati kerosakan akibat kebakaran di pintu masuk bangunan dan di bilik air, dan semburan slogan dalam Bahasa Ibrani, ‘Rampas Arab dan bukan Yahudi,’ dan ‘Tanah Israel untuk orang kami!’

Mereka berkata kerosakan adalah tidak teruk dan kawasan sembahyang tidak terjejas.

Kejadian itu mempunyai ciri-ciri serangan ‘tanda harga’ – lambang untuk jenayah benci yang bermotifkan nasionalis Yahudi yang pada umumnya menyasarkan harta Palestin atau Arab.

“Penduduk terkejut dengan kebakaran yang meletus di masjid pada malam dan bergegas untuk memadamkannya,” beritahu datuk bandar Al-Bireh Azzam Ismail kepada AFP, menyalahkan ‘peneroka Israel.’

Bercakap sebelum mesyuarat kabinet mingguan Palestin, perdana menteri Mohammed Shtayyeh menganggap serangan satu ‘perbuatan rasis’ dan berkata beliau menuduh kerajaan Israel bertanggungjawab terhadap ‘keganasan peneroka yang semakin meningkat.’

Menteri Ekonomi Israel Amir Peretz meminta ‘penjenayah yang membakar masjid dihadapkan ke muka pengadilan.’

“Virus kebencian, seperti koronavirus, adalah musuh umum semua agama dan penduduk di dunia,” tulisnya di Twitter. – AFP