Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran Grand Canyon musnahkan struktur bersejarah

    LOS ANGELES, 15 JULAI – Kebakaran hutan yang semakin marak di North Rim Grand Canyon telah memusnahkan sekurang-kurangnya 50 struktur, termasuk sebuah rumah penginapan bersejarah di kawasan pelancongan terkenal Amerika Syarikat (AS) itu, menurut pihak berkuasa kelmarin.

    Ratusan anggota bomba dari udara dan darat di Arizona sedang berusaha memadamkan kebakaran yang dinamakan Dragon Bravo.

    Lebih 500 pelancong dan kakitangan taman telah dipindahkan sejak kebakaran meletus pada 4 Julai lalu yang dipercayai berpunca daripada panahan petir.

    Menurut Perkhidmatan Taman Negara, api semakin marak pada Sabtu malam lalu susulan tiupan angin kencang sehingga 64 kilometer sejam.

    Penilaian awal mendapati kebakaran telah memusnahkan antara 50 hingga 80 struktur termasuk bangunan pentadbiran, kemudahan rawatan air dan bangunan bersejarah Grand Canyon Lodge, satu-satunya tempat penginapan di North Rim di dalam taman tersebut.

    Gambar AP

    Bangunan itu pernah dibina semula pada 1930an selepas musnah dalam kebakaran dan diisytihar sebagai monumen bersejarah negara pada 1987.

    Kebakaran yang telah berterusan lebih seminggu itu pada awalnya dikawal dengan strategi ‘confine and contain’ oleh pihak berkuasa persekutuan, bukannya dipadamkan secara agresif. Gabenor Arizona, Katie Hobbs, mengkritik pendekatan tersebut dan menuntut siasatan bebas.

    “Insiden sebesar ini memerlukan pemantauan rapi dan penelitian mendalam terhadap tindak balas kecemasan pihak kerajaan persekutuan,” katanya menerusi hantaran di X.

    “Mereka mesti bertindak agresif untuk memadamkan kebakaran ini dan mengelakkan kerosakan lebih besar. Namun rakyat Arizona berhak tahu bagaimana kebakaran ini boleh memusnahkan Grand Canyon National Park,” tegasnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda