Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran gudang peluru berjaya dipadamkan

    JAKARTA, 31 MAC – Anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran yang meranapkan sebuah gudang peluru di luar ibu negara Indonesia selepas beberapa siri letupan, kata seorang pegawai hari ini.

    Letupan pertama kedengaran kira-kira jam 6 petang kelmarin di gudang yang digunakan untuk menyimpan peluru yang sudah tamat tempoh di dalam kompleks tentera berhampiran Jakarta.

    Sebanyak 27 trak bomba telah dikerahkan ke lokasi dan pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran itu pada pukul 3:45 pagi hari ini.

    “Kami boleh mengesahkan bahawa api telah dipadamkan, tetapi kami masih menjalankan proses penyejukan pada masa ini untuk menjangka kemungkinan tempat kebakaran lain,” kata ketua tentera bandaraya Jakarta, Mohamad Hasan semasa sidang media yang disiarkan di televisyen.

    “Alhamdulillah, sehingga kini tiada korban jiwa yang dilaporkan,” katanya.

    Anggota bomba berjalan selepas memadam kebakaran di pintu masuk gudang peluru tentera di mana beberapa letupan berlaku di Bogor, Jawa Barat, kelmarin. – AFP

    Pihak berkuasa telah memindahkan penduduk berhampiran ke kawasan yang lebih selamat ketika api memusnahkan kemudahan penyimpanan tersebut, tetapi kebanyakan orang telah pulang ke rumah, menurut Hasan.

    Beliau berkata tentera telah menerima laporan bahawa peluru atau serpihan peluru mungkin telah mendarat di kawasan sekitarnya dan menggesa orang ramai supaya tidak menyentuh objek-objek tersebut, sambil menambah tentera sedang mencari bahan yang berpotensi berbahaya.

    Menurut komander tentera, gudang tersebut tidak mempunyai bekalan elektrik dan letupan mungkin berpunca daripada peluru yang sudah tamat tempoh yang tidak stabil.

    “Kami mengesyaki bahawa letupan ini berpunca daripada peluru yang telah tamat tempoh,” katanya.

    “Ia mungkin disebabkan oleh bahan kimia dan letupan yang tidak stabil.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda