Friday, July 5, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Kebakaran hospital ragut empat nyawa

    BERLIN, 5 JAN – Empat orang maut selepas kebakaran meletus di sebuah hospital di bandar Uelzen di utara Jerman, kata polis tempatan hari ini, dengan punca kebakaran masih belum diketahui.

    Kebakaran itu, yang berlaku pada malam Khamis, turut menyebabkan puluhan orang cedera, beberapa daripada mereka parah, kata jurucakap polis Lueneburg kepada AFP.

    Kebakaran berlaku pada 10:45 malam dan apabila kakitangan perkhidmatan kecemasan tiba, api dapat dilihat di tingkat tiga serta terdapat ‘banyak asap’, kata polis dalam satu kenyataan sebelum ini.

    ‘Panggilan meminta pertolongan’ kedengaran dari bangunan itu, tambah polis, dan hospital itu telah dikosongkan ketika kebakaran dipadamkan.

    Polis pada mulanya berkata satu orang telah meninggal dunia dalam kebakaran itu, sebelum mengemas kini jumlah kematian hari ini.

    Menurut laporan media Jerman, keempat-empat orang yang terbunuh adalah pesakit.

    Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan ke atas punca kebakaran, yang dianggarkan mengakibatkan kerosakan bernilai lebih AS$1.1 juta.

    Punca kebakaran masih tidak jelas dan siasatan sedang dijalankan ‘dalam semua aspek’, kata jurucakap polis itu. – AFP

    Anggota bomba menjalankan tugasnya semasa kebakaran yang berlaku di sebuah hospital di bandar Uelzen, utara Jerman, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir: Sembilan maut, jutaan terjejas

    GUWAHATI, 4 JULAI – Hujan lebat dan sungai melimpah di timur laut India dan negara jiran, Bangladesh, telah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa, menurut pegawai...