KOLKATA, 30 APRIL – Satu kebakaran dahsyat melanda sebuah hotel di bandar Kolkata, India, membunuh sekurang-kurangnya 15 orang, menurut pihak polis hari ini, dengan beberapa mangsa terpaksa memanjat keluar dari tingkap dan naik ke bumbung untuk menyelamatkan diri.
Beberapa orang berjaya diselamatkan dari bilik dan bumbung hotel bajet tersebut, kata Ketua Polis Kolkata, Manoj Verma, kepada AFP, selepas kebakaran meletus petang kelmarin.
“Jumlah kematian telah meningkat kepada 15 orang, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita,” kata Verma, sambil menambah siasatan telah dilancarkan untuk mengenal pasti punca kebakaran.
“Hotel itu berubah menjadi bilik gas dan nampaknya ramai yang maut akibat sesak nafas.”
Hotel Rituraj, yang menempatkan 88 tetamu ketika kejadian, terletak di kawasan perniagaan yang padat di tengah-tengah Kolkata.

Kira-kira 12 mangsa mengalami kecederaan akibat melecur dan sedang menerima rawatan.
Kebakaran bangunan merupakan kejadian biasa di India berikutan kekurangan kelengkapan pemadam api dan sikap sambil lewa ter-hadap pematuhan peraturan keselamatan.
Tahun lalu, enam orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah hotel di Patna, dalam negeri Bihar di timur India.
Agensi berita Press Trust of India, yang merakam imej api marak dari bangunan hotel di Kolkata, melaporkan bahawa beberapa orang dilihat cuba melarikan diri melalui tingkap dan belebas sempit bangunan.
Akhbar The Telegraph Kolkata melaporkan bahawa sekurang-kurangnya seorang mangsa maut selepas dia terjun dari bumbung dalam usaha melarikan diri dari kebakaran tersebut.
Verma berkata kebakaran itu berjaya dikawal dan kerja-kerja penyejukan masih dijalankan. – AFP