Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran hutan: 6 maut, lebih 330 dalam rawatan

    ANKARA, 1 OGOS – Kebakaran hutan di selatan Turki memaksa lebih ramai orang meninggalkan rumah mereka hari ini ketika tekanan terhadap kerajaan meningkat atas tindak balasnya terhadap bencana yang membawa maut itu.

    Turki telah mengalami kebakaran hutan terburuk dalam sekurang-kurangnya satu dekad, data rasmi menunjukkan, dengan hampir 95,000 hektar (235,000 ekar) terbakar sejauh ini pada tahun ini, berbanding dengan rata-rata 13,516 pada tahun antara 2008 dan 2020.

    Sejak kebakaran berlaku Rabu lalu, enam orang telah meninggal dunia dan lebih daripada 330 telah menerima rawatan perubatan.

    Sebuah kawasan kejiranan di bandar pelancongan Bodrum dipindahkan, lapor penyiar CNN Turk, ketika kebakaran dimarakkan angin kencang dari daerah Milas berdekatan.

    Tidak dapat melalui jalan raya, 540 penduduk dibawa ke hotel menggunakan kapal, kata saluran itu.

    Anggota bomba semasa memadamkan kebakaran besar yang melanda wilayah peranginan Mediterranean di pantai selatan Turki berhampiran bandar Manavgat, semalam. – AFP

    Terdapat lebih banyak pemindahan di Sirtkoy di wilayah Antalya, lapor penyiar NTV, dengan gambar awan asap kelabu menyelimuti rumah-rumah.

    Menteri Pertanian dan Perhutanan, Bekir Pakdemirli mengatakan 107 dari 112 kebakaran hutan kini terkawal, tetapi api terus marak di wilayah percutian Antalya dan Mugla.

    Suhu panas tetap tinggi di rantau itu setelah tahap rekod bulan lalu.

    Direktorat am meteorologi mencatat suhu 49.1 darjah Celsius pada 20 Julai lalu di bandar tenggara Cizre.

    Merkuri dijangka mencapai 40 darjah Celsius di Antalya, esok. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda