ALGIERS, 25 JULAI – Anggota bomba Algeria hari ini sedang berjuang memadam kebakaran yang telah membunuh 34 orang di seluruh kawasan utara yang kering, memusnahkan rumah dan pusat peranginan pantai serta mengubah kawasan hutan yang luas menjadi tanah tandus yang hitam.
Saksi menggambarkan lingkaran api yang marak ‘seperti penunu bagas’, dan rakaman TV menunjukkan kereta yang hangus, kedai yang terbakar serta padang dan semak samun yang membara ketika beribu-ribu penduduk dipindahkan.
Kebakaran teruk melanda hutan pergunungan di wilayah Kabylia di pantai Mediterranean, yang ditiup oleh angin panas di tengah-tengah musim panas yang mencecah 48 darjah Celsius kelmarin.
Presiden Abdelmadjid Tebboune menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban, termasuk 10 askar yang terperangkap dalam kebakaran di Beni Ksila, wilayah Bejaia, menurut kementerian pertahanan.
Pihak berkuasa melaporkan kemajuan dalam memerangi hampir 100 kebakaran yang dilaporkan dalam beberapa hari kebelakangan ini, setelah menggerakkan lebih 8,000 anggota pertahanan awam, lebih 500 trak bomba dan beberapa pesawat sewa.
“Daripada 97 kebakaran yang diisytiharkan, hanya 15 yang masih kekal” pada 8:30 pagi (0730 GMT) Selasa, termasuk dua di Bejaia yang paling terjejas, kata pegawai maklumat pertahanan awam, Karim Belhafsi dalam temu bual di televisyen nasional.
Kementerian dalam negeri dijangka akan segera mengumumkan ‘pemadaman semua kebakaran’, katanya, sementara pendakwa raya Bejaia mengarahkan siasatan terhadap punca-punca kebakaran dan kemungkinan pelakunya. – AFP
