NARBONNE, 8 JULAI – Kebakaran hutan besar yang berlaku di selatan Perancis sejak kelmarin telah memusnahkan kawasan sebesar saiz 2,000 padang ragbi, mendorong penutupan sementara lebuh raya ke Sepanyol dan pemindahan penduduk tempatan.
Menurut pihak berkuasa, kebakaran itu bermula petang kelmarin di kawasan ladang wain berhampiran Narbonne sebelum merebak pantas disebabkan tiupan angin kuat dan tumbuhan kering ekoran gelombang haba berpanjangan.
Lebih 1,000 anggota bomba dikerahkan semalaman untuk mengawal kebakaran, namun pagi tadi, api telah memusnahkan sebahagian besar daripada 2,000 hektar tanah.
Pegawai tempatan, Christian Pouget memaklumkan bahawa enam kediaman turut terjejas secara separa akibat kebakaran tersebut. “Api masih belum dapat dikawal,” katanya.
Di kampung Prat-de-Cest, pokok-pokok kelihatan hangus atau masih terbakar. Seorang penduduk, Martine Bou berkata beliau sempat melarikan diri bersama kucing, kura-kura dan anjingnya, manakala suaminya Frederic sepanjang malam menyiram pokok-pokok pain agar api tidak merebak ke rumah mereka.
“Saya tidak pernah lihat kebakaran sebesar ini. Api menjulang setinggi puluhan meter,” katanya.
Meteo France, jabatan cuaca negara itu, memberi amaran bahawa risiko kebakaran masih tinggi meskipun gelombang haba selama 16 hari telah berakhir Jumaat lalu tempoh yang sama dengan gelombang yang membawa maut pada 2003.
Lebuh raya A9 menuju ke Sepanyol telah ditutup sementara, namun pihak berkuasa memaklumkan bahawa laluan kini dibuka semula secara berperingkat.
Kebakaran itu adalah antara siri kebakaran besar yang mula tercetus di selatan Perancis sejak hujung minggu lalu. – AFP
