Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Kebakaran hutan dan belukar di kawasan, di bawah tadahan Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat mencatatkan penurunan yang ketara sepanjang tahun 2016 hingga 2017.
Perkara ini dijelaskan oleh Pemangku Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat, Haji Nordin bin Haji Buntar selaku Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi F dalam sidang media mengenai kejadian kebakaran hutan dan belukar yang berlangsung di Balai Bomba Jerudong, hari ini.
Pada sidang media itu, beliau menjelaskan antara sebab penurunan statistik itu adalah kerana timbulnya kesedaran dan kerjasama orang ramai terhadap pembakaran secara terbuka dan pembakaran untuk projek perkebunan yang dilakukan oleh pemaju-pemaju.
Menurutnya lagi, kawasan yang dikenal pasti sering berlakunya kebakaran hutan dan belukar itu ialah kawasan pertanian Lampaki, Kampung Lugu, Bukit Ambok dan tempat projek perkebunan.
Beliau seterusnya menambah, dua buah balai di bawah Cawangan Operasi F iaitu Balai Bomba Pengkalan Batu dan Balai Bomba Jerudong sejak dua tahun kebelakangan sering menerima panggilan kebakaran hutan dan belukar pada musim kemarau, cuaca panas dan kering.

“Kedua-dua balai ini mempunyai tadahan hutan yang luas dan sering berlakunya kebakaran terutama pada musim kemarau yang mengambil jangka masa yang panjang melebihi tujuh hari,” jelasnya.
Tambahnya, “Pada tahun 2016 sahaja, panggilan kebakaran hutan dan belukar mencatatkan sebanyak 96 panggilan dan jumlah panggilan kebakaran itu menurun kepada 33 panggilan pada tahun 2017, di mana jumlah keseluruhan keluasan kebakaran itu adalah 300.31 hektar.”
Manakala pada Januari hingga Mac 2018 pula, panggilan bagi kebakaran hutan dan belukar hanya mencatat empat panggilan sahaja.
“Ini jelas dilihat adanya kesedaran orang ramai terhadap kesan jika pembakaran secara terbuka dilakukan tanpa pengawasan,” tegasnya.
Beliau seterusnya menjelaskan, punca kebakaran hutan dan belukar ini adalah disebabkan perunan yang ditinggalkan tanpa pengawasan dan pembakaran secara terbuka.
Sehubungan itu, dalam usaha pihak jabatan berkenaan mengawal peningkatan statistik kebakaran hutan dan belukar, beberapa persediaan dan langkah telah diambil antaranya merancang strategi dan melakukan pemantauan di kawasan-kawasan tertentu di samping membuat persediaan keanggotaan dan logistik. Dalam sidang media itu, beliau juga mengadakan perjumpaan dengan pemaju tapak pertanian dan turun padang untuk melihat kesesuaian tempat untuk pembakaran bagi mengelakkan ianya daripada merebak ke kawasan lain.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada orang ramai agar sentiasa membuat pengawasan terhadap pembakaran yang dilakukan dan bagi pemaju projek pertanian pula disarankan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak bomba sebelum membuat pembakaran.