Saturday, January 25, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran hutan dahsyat landa Los Angeles

    LOS ANGELES, 8 JAN – Sebuah kebakaran hutan yang dahsyat di kawasan pinggir bandar Los Angeles memusnahkan bangunan dan mencetuskan pemindahan panik kelmarin, ketika angin dengan kelajuan taufan melanda kawasan tersebut.

    Penduduk yang ketakutan meninggalkan kenderaan mereka di salah satu jalan utama yang menjadi laluan keluar dan masuk ke kawasan mewah Pacific Palisades, melarikan diri dengan berjalan kaki dari kebakaran seluas hampir 3,000 ekar yang sedang membakar kawasan dipenuhi rumah bernilai jutaan dolar di Pergunungan Santa Monica.

    Pasukan bomba menggunakan jentolak untuk menolak puluhan kenderaan termasuk model mewah seperti BMW, Tesla dan Mercedes ke tepi jalan, menyebabkan banyak kereta rosak dan penggera berbunyi tanpa henti.

    Ketua Jabatan Bomba Los Angeles, Kristin Crowley berkata walaupun timbul kekecohan semasa pemindahan, tiada laporan segera mengenai kematian atau kecederaan.

    Ratusan anggota bomba memenuhi kawasan itu, memadamkan kebakaran dari darat dan udara, sementara pasukan bekerja melalui kawasan berbukit untuk membersihkan tumbuh-tumbuhan dan mendirikan pemisah kebakaran.

    Kira-kira 30,000 orang diarahkan berpindah dari kebakaran yang merebak dengan pantas, yang telah memusnahkan beberapa rumah apabila angin kuat menyebarkan bara api ke kawasan yang lebih luas.

    “Kita masih belum bebas daripada bahaya,” kata Ketua Jabatan Bomba Daerah Los Angeles, Anthony Marrone, dalam satu sidang media, sambil menambah angin dijangka bertambah kencang.

    Di seberang bandar, di pinggir utara Los Angeles, satu lagi kebakaran meletus di Eaton Canyon, berhampiran Pasadena, dan dengan pantas membakar kawasan seluas 200 ekar malam kelmarin, menurut pegawai Hutan Negara Angeles. – AFP

    Seorang anggota bomba berjalan di tepi rumah yang terbakar di kejiranan Pacific Palisades di Los Angeles, California pada 8 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda