ATHENS, 22 OGOS – Greece hari ini bergelut memadamkam kebakaran yang semakin merebak yang mengorbankan dua orang dan memaksa pemindahan meluas dalam gelombang kebakaran kedua dalam sebulan.
Kebakaran terus merebak tanpa kawalan di timur laut Greece, pulau Evia dan Kythnos serta wilayah Boeotia di utara Athens, di tengah-tengah gabungan angin ribut dan suhu panas sehingga 41 darjah Celsius.
“Terdapat sembilan kawasan kebakaran aktif, ia adalah situasi yang sama dengan Julai,” kata jurucakap bomba kepada AFP, merujuk kepada gelombang kebakaran yang membunuh lima orang.
Arahan pemindahan telah dikeluarkan di hospital Alexandroupolis kelmarin, sebuah bandar pelabuhan timur laut Greece di kawasan di mana kebakaran sudah berlarutan untuk hari keempat.
Pengawal pantai berkata ia telah memindahkan 65 pesakit ke sebuah feri yang menunggu di pelabuhan bandar.
Api turut mengancam taman negara Dadia, di mana mayat seorang lelaki dipercayai pendatang haram telah ditemui kelmarin. Seorang gembala tua juga telah ditemui mati di wilayah Boeotia.
Dadia merupakan salah satu kawasan dilindungi yang paling penting di Eropah, menawarkan habitat yang ideal untuk burung nadir dan merupakan tempat tinggal kepada satu-satunya populasi pembiakan burung pemakan bangkai di Balkan.
Kesatuan Eropah mengumumkan ia menghantar dua pesawat pemadam kebakaran yang berpangkalan di Cyprus dan pasukan pemadam kebakaran Romania melalui mekanisme perlindungan awam blok itu.
Cuaca panas dan kering yang menambah risiko kebakaran akan berlarutan hingga Jumaat. – AFP


