Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran hutan di Greece, 3 maut

    ATHENS, 27 JULAI – Tiga orang maut dalam kebakaran hutan yang terus marak di seluruh Greece pada Rabu, Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Seorang wanita ditemukan meninggal dunia dalam sebuah treler berhampiran Volos, lokasi kebakaran besar berlaku pada kelmarin, manakala suami mangsa cedera parah, lapor penyiar kebangsaan Greece ERT.

    Dalam pada itu, seorang penggembala berusia 45 tahun dijumpai maut selepas mangsa bersama abangnya bertungkus lumus memindahkan haiwan ternakannya ke tempat selamat.

    Satu lagi mayat lelaki ditemukan berhampiran pusat peranginan tepi laut Karystos di Pulau Evia.

    Sebuah pesawat pemadam kebakaran turut dilaporkan terhempas di pulau berkenaan pada Selasa lalu, mengakibatkan kematian juruterbang dan pembantunya.

    Sebanyak 594 kebakaran hutan berlaku di seluruh Greece dalam tempoh 10 hari lalu, termasuk 61 pada kelmarin.

    Kebakaran berhampiran Volos antara yang paling mencabar, kata Menteri Krisis Iklim dan Perlindungan Awam, Vassilis Kikilias.

    Penduduk dipindahkan ketika suhu melebihi 40 darjah Celcius dan angin kencang mewujudkan kawasan hadapan yang menjangkau beberapa kilometer, tambahnya.

    Agensi Berita Greece, AMNA melaporkan anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran berhampiran kawasan perindustrian Volos memaksa kilang serta penempatan berhampiran kawasan arkeologi bernilai tinggi dikosongkan.

    Anggota kecemasan juga memadam kebakaran yang berlaku semula di Pulau Corfu dan Rhodes, kata Jabatan Bomba.

    Darurat diisytiharkan pada Rabu di Pulau Rhodes, ketika kebakaran hutan terus marak untuk hari kesembilan berturut-turut.

    Bagaimanapun, perintah darurat tidak membayangkan Rhodes tidak selamat untuk pelawat, sebaliknya ia berkaitan dengan kerosakan yang disebabkan oleh kebakaran. – Bernama

    Sebatang pokok berdiri yang terbakar di kampung Asklipio, di pulau Laut Aegean Rhodes, tenggara Greece, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda