Friday, November 15, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran hutan di Greece semakin merebak

    ATHENS, 1 OKT – Ratusan anggota bomba bergelut selama tiga hari beturut-turut hari ini untuk mengawal kebakaran hutan di semenanjung Peloponnese Greece yang mengorbankan dua orang, kata seorang menteri.

    Kebakaran itu telah memusnahkan sehingga 5,000 hektar hutan dan tanah pertanian, kata Menteri Perlindungan Awam, Vassilis Kikilias.

    Lebih 400 anggota bomba dengan sokongan 21 pesawat berusaha memadamkan kebakaran, dengan pesawat pengebom air dari Itali dan Croatia dijangka tiba hari ini, kata Kikilias dalam satu sidang akhbar.

    Kebakaran, yang bermula pada Ahad di gaung berhampiran pantai utara Peloponnese, memaksa pemindahan puluhan kampung.

    Dua lelaki yang membantu anggota bomba terperangkap dan mati dalam kebakaran. Tiga anggota bomba turut cedera.

    Para saintis telah memberikan amaran selama bertahun-tahun bahawa perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia mencetuskangelombang haba yang lebih lama, lebih kuat dan lebih kerap, serta kemarau dan fenomena cuaca ekstrem yang lain.

    Greece telah menyaksikan peningkatan mendadak dalam kebakaran hutan pada musim panas ini.

    Para pegawai tidak menyangka perlu berhadapan dengan kebakaran hutan pada ketika ini pada musim luruh, kata Kikilias.

    Negara Mediterranean itu merekodkan musim sejuk yang paling panas dan bulan Jun dan Julai yang paling panas sejak pengumpulan data yang boleh dipercayai bermula pada tahun 1960. – AFP

    Sebuah helikopter pemadam kebakaran menggugurkan air di kampung Pyrgos, dekat Corinth pada 30 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda