KAHULUI, 10 OGOS – Angka kematian akibat kebakaran hutan yang mengubah bandar bersejarah Hawaii menjadi abu telah meningkat kepada 36 orang, kata pegawai hari ini.
“Sementara usaha memadam kebakaran diteruskan, 36 orang mayat telah ditemui hari ini di tengah-tengah kebakaran aktif di Lahaina,” kata kerajaan daerah Maui dalam satu kenyataan.
Kebakaran bermula pada awal Selasa, mengancam rumah, perniagaan dan utiliti serta lebih 35,000 orang di pulau Maui, kata Agensi Pengurusan Kecemasan Hawaii dalam satu kenyataan.
Kebakaran itu telah membakar lebih daripada 2,000 ekar (800 hektar) tanah, kata agensi kerajaan itu.
“Angin kencang dan keadaan kering mendorong sebahagian besar Hawaii diletak di bawah Amaran Merah yang berakhir lewat kelmarin, dan lebih banyak kebakaran sedang berlaku di Pulau Besar dan Maui.”

Kebakaran telah menyebabkan penduduk yang terdesak terjun ke laut dalam usaha untuk melarikan diri dari api yang merebak pantas.
Lebih 270 bangunan telah rosak atau musnah di bandar Lahaina yang terjejas teruk, kata pegawai kelmarin.
“Sebahagian besar Lahaina di Maui telah musnah dan ratusan keluarga tempatan telah dipindahkan,” kata Gabenor, Josh Green dari bandar bersejarah itu, yang popular dalam kalangan pelancong.
Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan api membakar di tengah-tengah bandar, tepi pantai dan mengeluarkan kepulan asap hitam yang tebal. – AFP

