TOKYO, 24 FEB – Usaha memadam kebakaran hutan di Bandar Ofunato, Wilayah Iwate, Jepun, masih diteruskan hari ini ketika kebakaran itu memasuki hari keenam, lapor Xinhua yang memetik media tempatan.
Kebakaran yang bermula pada 19 Februari di daerah Sanriku, Ofunato masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya.
Asap masih kelihatan di beberapa lokasi pada pagi tadi, manakala pihak berkuasa belum dapat menentukan tempoh masa kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya, menurut penyiar nasional NHK.
Menurut kerajaan wilayah, kira-kira 324 hektar tanah musnah setakat pagi tadi. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kerosakan pada bangunan dilaporkan setakat ini.
Pihak berkuasa Bandar Ofunato mengekalkan arahan pemindahan kepada 62 isi rumah membabitkan 157 penduduk di daerah Tahama serta terus menasihatkan orang ramai supaya berwaspada.
Amaran cuaca kering dikeluarkan di kawasan pantai selatan Wilayah Iwate selama tujuh hari berturut-turut. – Bernama
